Inisiatif Deposit MADANI akan bantu ramai rakyat miliki rumah - Rehda

Bernama
Ogos 26, 2024 14:50 MYT
Inisiatif Deposit MADANI menyasarkan untuk menyediakan deposit sehingga RM30,000 kepada pembeli rumah pertama, selaras dengan dasar kerajaan 'Rumahku, Syurgaku'. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Deposit MADANI yang dicadangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Ringkasan AI
  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan Deposit MADANI untuk membantu rakyat Malaysia memiliki rumah dengan menyediakan deposit sehingga RM30,000 kepada pembeli rumah pertama.
  • Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyokong inisiatif ini kerana ia membantu golongan muda yang menghadapi cabaran besar untuk membayar deposit 10 peratus bagi pembelian rumah.
  • KPKT juga mencadangkan skim yang menyerupai DIBS untuk membantu pembeli rumah mengurangkan kebimbangan kewangan dengan pemaju menanggung kos faedah semasa tempoh pembinaan.

Presiden Rehda Datuk Ir Ho Hon Sang berkata cadangan itu menyamai dengan pendekatan yang dicadangkan oleh Rehda, iaitu deposit 10 peratus untuk membeli rumah telah menjadi halangan utama kepada individu yang tidak mempunyai simpanan yang besar, terutamanya golongan muda yang baru memulakan kerjaya mereka.
"Walaupun golongan muda mampu untuk membayar balik secara bulanan, bayaran pendahuluan 10 peratus adalah cabaran besar dan Rehda menyokong sebarang inisiatif untuk membantu rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Inisiatif Deposit MADANI menyasarkan untuk menyediakan deposit sehingga RM30,000 kepada pembeli rumah pertama, selaras dengan dasar kerajaan 'Rumahku, Syurgaku'.
Sementara itu, Ho berkata Rehda turut memuji cadangan KPKT untuk memperkenalkan satu lagi inisiatif bagi membantu mengurangkan kebimbangan kewangan pembeli rumah selain daripada bayaran bulanan kepada bank.
Skim itu yang menyerupai Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) yang terdahulu tetapi dengan peraturan yang lebih ketat, akan membolehkan pembeli mengekalkan lebih banyak simpanan kewangan.
Di bawah skim itu, pemaju akan menanggung kos faedah yang dikenakan semasa tempoh pembinaan, membolehkan pembeli menguruskan obligasi kewangan lain seperti membayar sewa untuk kediaman semasa mereka.
Walaupun butiran akhir inisiatif itu masih belum dikeluarkan, Rehda berpendapat Deposit MADANI dan skim DIBS boleh dilaksanakan dan hanya digunakan untuk rumah mampu milik yang dikawal harganya dan tidak akan memberi kesan kepada harga rumah mampu milik.
"Kami berharap pengumuman Belanjawan 2025 akan membawa berita baik kepada industri, memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia serta negara secara keseluruhannya.
"Rehda akan terus menggalakkan ahli-ahli kami untuk mengekalkan peranan kami dalam pembinaan negara dengan menyediakan rumah berkualiti dan mampu milik untuk rakyat secara tepat pada masanya dan mampan," tambah Ho.
Pada minggu lepas, Menteri KPKT Nga Kor Ming telah mengemukakan 33 cadangan bernilai hampir RM1 bilion kepada Kementerian Kewangan untuk Inisiatif Belanjawan 2025.
Selain Deposit MADANI, cadangan lain termasuk pembangunan 100 Taman Rekreasi MADANI; transformasi kolam takungan; perjanjian jual beli elektronik dan e-stamping atau tekan tera elektronik untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, selari dengan transformasi digital dan aspirasi Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
#REHDA #Ho Hon Sang #Deposit MADANI #miliki rumah
;