Inisiatif Bantu-Bantu Malaysia: 6.5 juta pelitup muka, 1.5 juta kotak makanan disumbangkan
Fareez Azman
April 13, 2022 13:26 MYT
April 13, 2022 13:26 MYT
KUALA LUMPUR: Sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu, pelbagai pihak dilihat tampil menghulurkan sumbangan dan bantuan dalam meringankan beban rakyat yang terkesan.
Tidak terkecuali, Inisiatif Bantu-Bantu Malaysia iaitu usaha murni sekumpulan sukarelawan dalam membantu rakyat yang terkesan sejak Mac 2020.
Menurut penggerak utamanya Datin Dian Lee Cheng Ling, sehingga kini sebanyak 6.5 juta pelitup muka, dua unit alat bantuan pernafasan (ventilator) dan 640 gaun pembedahan berjaya disumbangkan ke hospital-hospital awam seluruh negara.
"Usaha ini adalah inisiatif kami untuk petugas barisan hadapan, serta rakyat Malaysia, pada ketika negara berdepan pandemik yang tak pernah kita lalui sebelum ini.
"Kami juga membantu menyalurkan sumbangan dua juta pelitup muka dan PPE kepada Hospital Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Putrajaya, Hospital Shah Alam, Hospital Kota Bahru, Hospital Pantai, Hospital Ipoh dan Hospital Kuala Lumpur," jelasnya.
Meskipun negara kini memasuki peralihan fasa endemik, Lee berkata, pihaknya akan meneruskan usaha membantu golongan memerlukan terutama B40.
Katanya, setakat ini, 1.5 juta kotak makanan telah berjaya diagihkan.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kotak makanan kepada 200 ketua isi rumah di Kampung Parit Kangkong dan Kampung Parit Bandan di Batu Pahat, pada Selasa.
"Inisiatif di Batu Pahat ini sejajar dengan semangat berkongsi rezeki pada bulan Ramadan.
"Kami juga bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan di satu-satu lokasi.
"Pemilihan dua kampung di Batu Pahat ini adalah kerana kami sekeluarga berasal dari daerah ini dan kami ingin berkongsi rezeki dengan penduduk yang memerlukan di sini.
"Kami akan turut bergerak ke beberapa lokasi lain di seluruh negara," katanya.
Orang ramai yang berminat menyertai inisiatif ini atau memerlukan bantuan boleh melayari laman web tertera dian.mendengar@gmail.com atau di laman Facebook @iamdianlee atau melayari www.bantubantumalaysiafoodforthought.com.