Inisiatif Astro beri siaran percuma dihargai - Kaji selidik

Nailah Huda
Jun 2, 2020 11:19 MYT
Kaji selidik yang disertai 1,000 responden mendapati Astro antara 10 jenama yang diiktiraf atas inisiatifnya membantu rakyat ketika PKP.
Dalam kegusaran dan kebimbangan yang menular ketika pandemik COVID-19, timbul pelbagai inisiatif untuk saling membantu golongan yang terkesan.
Langkah Astro untuk memberi akses percuma kepada 22 saluran, termasuk saluran filem, untuk para pelanggannya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dihargai rakyat Malaysia, menurut satu laporan.
Kaji selidik dalam kalangan 1,083 responden oleh Vase.ai mendapati 10 jenama terkemuka negara, termasuk Astro, dihargai kerana usaha masing-masing dalam menyumbang kepada kebajikan rakyat ketika memerangi pandemik global.
“Apabila PKP memerlukan rakyat Malaysia duduk di rumah dan berdepan dengan tempoh yang amat menggusarkan dari segi kewangan, banyak jenama menjalankan inisiatif untuk meringankan beban pengguna ketika detik ini.
“Pada 8 April 2020, Vase.ai menjalankan kaji selidik dalam talian untuk mengenal pasti jenama yang diiktiraf kerana inisiatif dan sumbangan mereka semasa krisis COVID-19,” jelas firma itu dalam laporan berkenaan.
Selain memberi akses percuma kepada pelbagai saluran bagi pelanggannya, Astro turut menawarkan platform Astro GO secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.
Inisiatif berkenaan dimulakan pada 18 Mac, merangkumi saluran seperti HBO, FOX Movies, Celestial Movies, tvN Movies, BollyOne dan banyak lagi.
Antara jenama lain yang turut diiktiraf termasuk Digi, Celcom, Maxis, Gardenia, Dettol dan Shopee.
Vase.ai merupakan sebuah firma teknologi yang menjalankan kajian pasaran.
#akses percuma #Astro #COVID-19 #inisiatif #kaji selidik #koronavirus #perintah kawalan pergerakan #PKP #saluran percuma #Vase ai
;