Inilah waktunya bersihkan persepsi masyarakat terhadap wakil rakyat - Penganalisis politik

Israr Khalid
Julai 26, 2021 07:53 MYT
SIVAMURUGAN: Inilah masanya untuk perbaiki imej dan juga tafsiran yang diberikan ke atas ahli politik dengan mempamerkan kematangan untuk bersama dalam satu blok. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara tidak sepatutnya menjadi kecaman dengan tujuan menggagalkan segala usaha kerajaan ketika ini untuk cuba membawa keluar negara daripada kemelut cetusan pandemik ini.
Sebaliknya, menurut penganalisis politik Sivamurugan Pandian, ia harus dilihat sebagai medium yang boleh dimanfaatkan pada waktu ini untuk menampilkan kematangan berpolitik setiap pihak dalam mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap peranan wakil rakyat.
Beliau sedar bahawa pasti ada pihak yang tidak bersetuju dengan pelan itu kerana beranggapan jika ia berjaya nanti seluruh penghargaan akan diberikan kepada kerajaan.
Namun rakyat hari ini, sebahagiannya kalau tidak semua, tidaklah sedangkal itu dan mampu menilai tindak tanduk para politikus dengan segala akses maklumat yang ada.
“Jika itu menjadi kekhuatiran dalam kalangan pemimpin, sukarlah untuk kita mencapai hasrat yang sebenar.
“Inilah masanya untuk perbaiki imej dan juga tafsiran yang diberikan ke atas ahli politik dengan mempamerkan kematangan untuk bersama dalam satu blok.
"Boleh bersetuju dalam tidak setuju dan mencari satu konsensus,” jelasnya.
Jika tidak, rakyat akan semakin hilang percaya kepada peranan wakil rakyat dan akhirnya menguruskan sendiri masalah mereka di bawah prinsip ‘rakyat jaga rakyat’, yang dikhuatiri akan menghancurkan struktur kepemimpinan di negara ini, kata Sivamurugan lagi.
Maka, jelasnya, semua pihak perlu mengetepikan segala agenda peribadi mahupun puak masing-masing dan mencari titik persamaan dalam perbezaan antara mereka untuk bekerja demi Malaysia.
Pada masa sama, Pelan Pemulihan Negara ini juga, kata Sivamurugan, perlu bersifat menyeluruh supaya ia melindungi setiap lapisan masyarakat yang tidak terkecuali daripada terkesan dek pandemik ini.
“Dalam konteks ini, kalau mahu dilihat sebagai pelindung, ia harus merentasi fahaman politik, etnik, kepercayaan, ritual, sentimen Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.
"Segalanya harus dibawa bersama supaya pemulihan itu dilihat bersifat komprehensif, holistik, praktikal dan rasional.
“Saya merasakan ini masanya untuk kedua-dua pihak membawa satu keseimbangan yang baharu dalam konteks politik kita, barangkali boleh membantu untuk menstabilkan suhu politik yang sedang mendidih.
“Tapi semuanya memerlukan iltizam daripada semua pihak,” jelasnya.
Ini waktunya untuk bersihkan persepsi masyarakat terhadap wakil rakyat - Penganalisis Politik
#Agenda Awani #Dr Sivamurugan Pandian #Pelan Pemulihan Negara #wakil rakyat #ahli politik #rakyat jaga rakyat #pandemik #agenda peribadi
;