'Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia' kempen terbaharu Tourism Malaysia
Nursyazwani Saiful Sham
Februari 26, 2023 12:40 MYT
Februari 26, 2023 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” merupakan kempen terbaharu Tourism Malaysia untuk menyeru rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada industri pelancongan domestik.
Perkara itu turut dinyatakan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang turut menyatakan kempen itu adalah untuk memastikan pelancongan domestik terus berdaya tahan tatkala berdepan krisis pandemik COVID-19.
“Kempen “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” memfokuskan kepada segmen keluarga dan millennials dengan mengetengahkan tema produk dan destinasi pelancongan berteraskan 'family fun', ekopelancongan dan kembara, pulau dan pantai, segmen beli-belah serta budaya dan warisan.
“Melalui kempen ini, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia melakukan pergerakan melancong merentasi pelbagai negeri sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya dalam satu kenyataan sempena acara larian santai Hari Wilayah Persekutuan pada Sabtu.
Pada masa sama, lagu kempen “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” yang berjudul “Masanya Telah Tiba” turut dilancarkan pada acara tersebut.
Lagu ini didendangkan buat kali pertama secara langsung oleh penyanyi Nik Qistina, hasil gubahan komposer Ananth Kumar dan lirik oleh James Boyle pada Sabtu.
Seramai 5,302 peserta telah mengesahkan penyertaan dalam larian 7 kilometer menggunakan laluan Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Car-Free Morning) bagi kategori individu dan keluarga.
“Selain berlari santai sambil menghirup udara segar, program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong menerusi aktiviti sukan, rekreasi, seni dan kebudayaan,” katanya lagi.