KUALA LUMPUR: HFMD, atau nama panjangnya penyakit tangan, kaki dan mulut merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh dua jenis virus di dalam kumpulan Enterovirus.

Majoriti jangkitan HFMD adalah disebabkan jenis virus terbitannya iaitu Coxsackie A16 yang mendatangkan gejala ringan seperti demam dan ruam yang melepuh pada tempat berkenaan serta ulser di dalam mulut.

Lazimnya penyakit ini menyerang kanak-kanak dan menurut Pakar Pediatrik, Imunologi & Alergi, AMDI, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Intan Juliana Abd Hamid, sekiranya kelihatan gejala seperti disebutkan itu, langkah pertama yang boleh diambil ibu bapa adalah mengisolasikan anak tersebut di rumah.

Katanya, perkembangan kesihatan anak yang dijangkiti perlu dipantau untuk 10 hari dari hari pertama simptom dikesan.

“Kalau nampak tanda-tanda itu, jangan hantar anak ke nurseri sebab nanti akan terus merebak ke orang lain, juga pada masa sama penting untuk mengamalkan kebersihan tahap tinggi di rumah.

“Pastikan basuh tangan dengan bersih bersama sabun setiap kali selepas kendalikan anak, beri makan, bermain dengannya, terutamanya selepas menukar lampin serta pastikan jangan berkongsi peralatan peribadi macam tuala, sudu, garfu, pinggan dan mangkuk,” katanya.

Ini kerana jelas beliau, penyakit ini mudah berjangkit secara sentuhan rapat melalui cecair tubuh seperti air liur dan bahan buangan.

Barangan yang disentuh oleh anak yang dijangkiti juga perlu kerap disanitasi dan dibasuh untuk membunuh kuman yang sudah berpaut pada objek seperti pakaian, alat permainan, perabut dan sebagainya.

Katanya lagi, sekiranya kesihatan anak dilihat tidak menunjukkan perkembangan positif atau semakin merosot, segeralah bawa berjumpa doktor.

Ini kerana ada satu lagi virus iaitu jenis EV71 yang boleh menyebabkan manifestasi jangkitan HFMD lebih berat iaitu merebak hingga ke otak dan jantung seterusnya berupaya menggagalkan fungsinya lalu membawa maut.

“Jadi tanda-tanda yang ibu bapa perlu segera bawa anak berjumpa doktor: Pertama, kalau suhu badannya melebihi 38 darjah Celcius berterusan selama 48 jam. Kedua, apabila anak itu semakin lemah kerana tidak makan dan minum akibat ulser dalam mulut yang semakin teruk, dan ketiga, kalau anak itu pandangannya kelihatan tidak bermaya.

“Apatah lagi kalau sudah kena sawan, tak perlu tunggu lagi,” ujarnya lagi.

Tonton temu bual bersama Dr. Intan dalam program Agenda AWANI, di sini:

Ini yang ibu bapa perlu lakukan jika anak dijangkiti HFMD


Agenda AWANI: Kes HFMD meningkat, ambil tahu risiko