Ini wajah hero selamatkan wanita terjun laut tular
Sinar Harian
April 19, 2018 16:40 MYT
April 19, 2018 16:40 MYT
Wajah penyelamat yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan seorang wanita yang terjun ke laut di Kilometer 9.9 Jambatan Abdul Halim Muadzam Shah (JAHMS), Batu Kawan, semalam menjadi tular di media sosial.
Penyelamat berkenaan, Zaidi Salleh, 52, yang juga merupakan seorang polis bantuan diangkat hero sebenar oleh netizen dalam kejadian itu.
“Hero Malaya, awak terbaik, hanya ALLAH sahaja yang boleh membalas jasa baik awak, tidak semua orang sanggup ambil risiko,” kata Nor Mala Ishak menerusi perkongsian di Facebook.
Manakala Jeremy Din pula berkata, “Orang Macam ni sepatutnya ada ganjaran”.
Dalam pada itu, Mohd Hidzer Abu Bakar pula menzahirkan penghargaan terhadap Zaidi.
“Tahniah, Hero Malaya, ikhlas menolong 1 dalam 1,000,” katanya.
Dalam kejadian semalam, Zaidi bertindak pantas terjun ke laut bagi menyelamatkan wanita berkenaan.
Memetik Astro Awani, insiden yang dilaporkan berlaku jam 11 pagi semalam melibatkan seorang wanita berusia 28 tahun.
Wanita berkenaan juga dilaporkan meninggalkan keretanya di Kilometer 9.9 jambatan tersebut sebelum terjun.
Menurut Penolong Penguasa Kanan Bomba (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata, perbuatan wanita itu disedari Zaidi yang sedang melakukan rondaan.
Katanya, operasi menyelamat turut melibatkan nelayan, Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
#APMM
#Astro Awani
#batu kawan
#bomba
#Facebook
#Jambatan Abdul Halim Muadzam Shah
#Malaysia
#media sosial
#nelayan
#operasi
#pulau pinang
#terjun
#Tular
#viral hero
#wanita