Ini tujuh khabar gembira diumum PM Anwar sempena Aidilfitri
Ridauddin Daud
April 18, 2023 16:31 MYT
April 18, 2023 16:31 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tujuh berita baik buat rakyat Malaysia dalam sidang media khas beliau di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada Selasa.
Antara berita baik tersebut ialah berkaitan tol percuma, hari cuti tambahan dan kadar diskaun khas saman PDRM, semuanya sempena Hari Raya Aidilfitri.
Berikut merupakan ringkasan pakej berita baik diumumkan Perdana Menteri pada Selasa:
1. Tol Rahmah Percuma
Pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk dinikmati oleh semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini.
Tol Rahmah Percuma akan bermula dari 19 April 2023 (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat) dan juga pada 24 April 2023 (Isnin).
2. Tambahan hari kelepasan am
Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk Hari Raya Aidilfitri dan pulang ke kampung halaman.
Sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Jumaat, 21 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April 2023.
3. Diskaun Khas pengusaha Menu Rahmah
Kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih telah bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah pada kadar diskaun khas.
4. Kadar Khas Bayaran Saman
Bermula 21 April sehingga 21 Mei 2023 bagi semua saman trafik PDRM (kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya).
Setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023.
5. Penyelenggaraan jalan
Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan dan kerja tersebut akan diagihkan khusus untuk manfaat kontraktor kecil Bumiputera.
6. Penurunan harga simen
Kerajaan dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) serta pemaju perumahan swasta akan menawarkan harga simen pada kadar berpatutan untuk manfaat pemaju rumah mampu milik.
7. Pelepasan lebih 1,000 OBB
Jabatan Penjara Malaysia akan melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti).