Ini senarai aktiviti diharap dapat dilonggarkan selepas 9 Jun

Faris Danial Razi
Jun 2, 2020 07:30 MYT
Berdasarkan daripada pungutan suara yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi aplikasi Telegram, orang lebih memilih supaya pergerakan merentas negeri dibenarkan semula. - Bernama
MAJORITI rakyat Malaysia berharap pergerakan rentas negeri akan dilonggarkan semula selepas 9 Jun ini.
Dapatan itu berdasarkan pungutan suara oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi aplikasi Telegram pada Selasa yang mendapati orang ramai mahu supaya pergerakan merentas negeri dibenarkan semula.
Ini kerana, daripada lapan pilihan peraturan yang diberikan, kebenaran rentas negeri paling banyak mendapat jumlah undian iaitu 64 peratus daripada lebih 222,500 responden.
Ini diikuti dengan aktiviti keagamaan yang mana sebanyak 57 peratus membuat pilihan supaya larangan melakukan aktiviti keagamaan dibenarkan semula.
Manakala aktiviti pendidikan juga menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang mana sebanyak 35 peratus memilih agar sektor pendidikan beroperasi semula seperti biasa selepas 9 Jun kelak.
Setakat ini, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua kampus Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu dilaksanakan secara dalam talian hingga 31 Disember ini.
Manakala keputusan pembukaan semula sekolah masih sedang dalam tempoh perincian oleh pihak-pihak tertentu bagi melihat sama ada ia wajar dibuka semula dalam masa terdekat atau sebaliknya.
Untuk pilihan jawapan perniagaan tanpa premis iaitu melibatkan penjaja, pasar minggu, pasar tani, pasar malam, sebanyak 34 peratus memilih supaya ia dibenarkan semula.
Perkhidmatan gunting rambut juga memperoleh 34 peratus jumlah undian dan ia merupakan pilihan kelima tertinggi dalam peraturan yang ingin dilonggarkan oleh rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, aktiviti hiburan dan riadah seperti panggung wayang, karaoke, muzium, taman tema meraih sebanyak 12 peratus.
Ia diikuti dengan aktiviti seni kreatif iaitu melibatkan penggambaran, rakaman filem, drama dan dokumentari yang mana hanya mendapat 10 peratus undian yang berkemungkinan melibatkan pemain industri penggambaran.
Bagaimanapun, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan PKP pada Selasa telah membuat keputusan untuk membenarkan pengambaran filem bermula 10 Jun 2020.
Ingin diingatkan kepada semua yang terlibat dalam aktiviti penggambaran filem untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Penjarakan sosial serta kebersihan diri harus diamalkan pada setiap masa.
Terakhir sekali yang paling mendapat jumlah undian sedikit dalam pungutan suara MKN itu ialah aktiviti perjudian yang mana cuma sebanyak tiga peratus sahaja dikumpulkan.
#aktiviti keagamaan #Institusi Pengajian Tinggi #Majlis Keselamatan Negara #MKN #Pelaksanaan PKP #pengajaran dan pembelajaran #penjarakan sosial #pergerakan rentas negeri #rakyat #rakyat Malaysia #SOP
;