Ini sebab harga pakej umrah meningkat, menurut TH
Israr Khalid
Januari 10, 2023 06:30 MYT
Januari 10, 2023 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika ekonomi sedang di ambang kegawatan, sudah tentu segala macam benda naik harganya - termasuk pakej umrah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Ghazali, peningkatan harga pakej umrah ketika ini didapati disebabkan oleh dua faktor utama, iaitu kenaikan kos penerbangan dan kos penginapan hotel.
Apa yang menyebabkan dua perkara itu mengalami kenaikan kos? Ini huraiannya:
Kos penerbangan
- Kebanyakan pesawat tidak digunakan dalam tempoh yang lama dek pandemik COVID-19. Untuk membolehkannya beroperasi semula, pesawat perlu menjalani pemeriksaan besar (C-Check) yang terperinci dan memakan masa yang panjang, sekurang-kurangnya enam bulan. Kosnya juga tinggi.
- Sebahagian syarikat penerbangan krunya perlu dilatih semula, selepas lama tidak berkhidmat. Ia juga memakan kos dan tempoh kurang lebih enam bulan.
- Harga minyak mentah turut meningkat, menyebabkan harga bahan api pesawat ikut sama.
- Untuk menampung kos yang terpaksa dibelanjakan untuk tiga perkara tersebut, syarikat penerbangan terpaksa menyerapkannya ke dalam harga tambangnya.
- Pada masa sama, berlaku ketidakseimbangan dalam rantaian bekalan dan permintaan dek kekurangan staf serta ketidaksediaan banyak pesawat turut menyumbang kepada kenaikan harga tambang.
- Kejatuhan nilai ringgit Malaysia berbanding dolar AS juga menyebabkan tambang menjadi lebih mahal.
- Akibat pandemik COVID-19, jemaah umrah ke Mekah dan Madinah turun mendadak menyebabkan hampir semua hotel berhenti beroperasi. Untuk ‘dihidupkan’ kembali, banyak kerja pembersihan dan pembaikan perlu dilakukan - seperti rumah yang ditinggalkan lama.
- Kebanyakan pekerja hotel-hotel di Mekah dan Madinah adalah warga asing yang kembali ke negara asal masing-masing tatkala pandemik melanda. Untuk memanggil mereka semula, ia memakan kos lagi untuk penerbangan dan visa pekerja mereka.