'Ini saja saya ada...', Genap setahun rumah pusaka musnah, tak berganjak meski berisiko banjir lagi
Fareez Azman
Januari 5, 2022 18:40 MYT
Januari 5, 2022 18:40 MYT
RAUB: Daerah Raub antara yang terjejas akibat gelombang kedua banjir di Negeri Pahang. Meskipun bahnya telah surut, namun 1,001 kemusnahan kini ditinggalkan.
Perit buat penduduk, tetapi itulah kesannya setiap kali bencana menimpa. Rugi, pilu dan sedih, menyelubungi perasaan kesemua mangsa.
Astro AWANI menelusuri petempatan di Ulu Dong, Raub, iaitu antara kawasan yang terjejas teruk dalam dua episod gelombang banjir baru-baru ini.
Genap setahun rumah hancur
Pemandangan di kawasan itu yang dahulunya cantik, kini bertukar wajah. Selain ditemui jambatan yang roboh, begitu juga dengan keadaan jalan raya penghubung - kebanyakannya kekal berlopak, berlumpur dan ada sebahagiannya runtuh akibat mendapan tanah serta hentaman bah.
Bagi Mohamad Fadzil Mohamed Jamion, 45, penduduk di Kampung Ajai, rumahnya pernah musnah dihanyutkan banjir pada Januari tahun lalu.
Genap setahun kejadian itu, ketika dia baru sahaja siap membina rumah baharu, dua lagi episod banjir membadai.
Di lokasi sama, rumah baharu itu separuh tenggelam, cuma kali itu ia tidak roboh. Kesan kotoran lumpur pada tembok putih di bahagian hadapan rumah itu sudah cukup menggambarkan keadaan paras air dalam jkejadian baru-baru ini.
"Kalau tengok pada kesan (air) itu memang tinggi, memang tak jangka juga.
"Rumah ini dibina atas bantuan daripada Mara.. Itulah.. kami reda sajalah.. Kalau ikutkan hati tu memang berat (untuk tinggal di sini) tapi kami tiada pilihan.
"Sebab memang ini rumah yang kami ada.. rumah pusaka yang perlu kami jaga. Memang kami berharap ada pihak yang berwajib memberi tapak baharu untuk kami tinggal," luahnya.
Rumah baru dibadai dua gelombang banjir
Rumah baharunya siap dibina pada Mac 2021 atas bantuan kerajaan. Namun pernah juga terdetik di hatinya, adakah pengalaman sama akan terus dilaluinya?
"Ya betul.. kami rasa itulah hakikat yang kami perlu terima. Memang kami nak juga duduk sini.
"Rasa takut pun ada tapi dah memang hati dekat sini juga. Memang masih lagi terkesan (dengan peristiwa setahun lalu). Memang saya nak tak nak ini saja yang ada sebab ini rumah kami," jelasnya lagi tentang tapak tanah pusaka seluas kira-kira setengah ekar (0.2 hektar) itu.
Pengalaman hitam pada Januari 2021 apabila rumahnya menyembah bumi akibat dibadai arus Sungai Dong tidak akan pernah dilupakan. Meskipun cuba bangkit semula, tetap juga terlintas di fikirannya bahawa kejadian sama boleh dan bakal berulang.
"Pengalaman itu memang takkan dilupa sampai bila-bila, memang kami sehelai sepinggang ketika itu. Tapi alhamdulillah, atas bantuan kawan, kami bina hidup baharu.
Sepanjang tempoh itu, mereka tinggal di rumah itu bersama risau dan cemas. Apatah lagi mereka sudah memahami bahawa tapak itu sudah tidak sesuai lagi untuk didiami, berikutan kedudukannya yang dekat dengan sungai yang pada bila-bila masa airnya boleh mengalir deras, melimpah dan memusnahkan.
"Tapi hati masih juga ke sini... sebab ini saja yang ada," ujarnya lagi.
Siren banjir tidak berfungsi
Tanah di hadapan rumahnya juga berlopak, akibat tinggalan limpahan Sungai Dong yang terletak kurang 50 meter sahaja dari rumah.
Menambahkan lagi kegusaran dan kekesalannya, adalah apabila mengetahui siren amaran banjir di hadapan rumahnya tidak berfungsi sejak setahun lalu.
"Kami sendiri kena waspada keadaan cuaca ini. Sistem amaran di depan ni lama dah tak berfungsi tapi mereka cakap akan dibaiki.
"Harap dibaiki. Jika (siren dalam keadaan baik) kejadian air naik awal pagi itu kami (dapat) sedar.
"Masa kejadian Januari 2021 memang dah rosak tak berbunyi. Banjir bulan Disember 2020 ada bunyi, lepas itu tak ada sampai ke sudah. Banjir dah tiga kali... macam itu juga," katanya kecewa.
Besar harapannya, agar sistem amaran banjir itu dapat dibaiki oleh pihak berwajib secepat mungkin.
Meskipun sudah genap setahun kejadian banjir yang meranapkan rumah pusakanya dahulu, namun ia masih memberi kesan besar kepada Mohamad Fadzil. Kini ditambah pula ujian terbaru apabila rumah baharunya separuh tenggelam.
Demi menjaga tanah pusaka ibu mertuanya itu, dia buat masa ini memilih untuk tinggal di situ meskipun sedar akan risiko yang diambil.
Sehingga kini, keadaan banjir di daerah Raub semakin pulih. Rata-rata penduduk telah pulang ke kediaman masing-masing selepas bah mulai surut semalam (4 Januari).
Dan kepulangan itu bukan suatu yang mudah dan menenangkan. Masih banyak yang perlu dibuat.