Ini saat paling sukar buat Nurfahana, beri dia ruang - Keluarga ustazah hilang
Adie Sufian Zulkefli
Januari 18, 2019 17:31 MYT
Januari 18, 2019 17:31 MYT
“Seharusnya, dalam keadaan sebegini semua pihak harus memberi ruang untuk adik saya berehat selepas melalui saat paling sukar dalam hidupnya.”
Itu permintaan abang kepada Ustazah Nurfarhana Ibrahim, 27, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu sebelum ditemui dalam keadaan selamat di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar, petang Khamis.
Menurut Ahmad Fahmi Ibrahim, 45, dia serta adik beradik yang lain masih belum dapat bertemu dengan Nurfarhana sejak penemuan adiknya itu.
Suami Nurfahana minta emosi dia tidak diganggu
Jelasnya, ianya adalah permintaan daripada adik iparnya (suami Nurfahanah) sendiri agar emosi Nurfarhana tidak diganggu serta tidak memberi tekanan kepadanya.
“Tiba kami sampai sana suami dia sudah bawa pulang, bawa keluar. Kami cuba hendak jumpa dia lepas itu kami tunggu. Dia (Nurfarhana) macam tidak mahu diganggu lagi.
“Kami pun dengar macam tu, kami pun faham. Maksudnya dia tidak mahu diganggu tetapi buat masa ini beri dia berehat dulu bertenang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Media sosial bantu pencarian
Sementara itu, Fahmi turut berterima kasih kepada orang ramai yang sudi membantu dalam usaha mencari adiknya yang hilang terutama di dalam media sosial serta media arus perdana.
Semalam, Ustazah Nurfarhana Ibrahim yang hilang sejak Isnin lalu ditemui selamat selepas hadir sendiri ke Balai Polis IPD Kuala Kangsar, Perak
Kehilangannya sebelum ini menimbulkan tanda tanya selepas beberapa barangan peribadi seperti beg tangan dan kunci keretanya ditinggalkan di meja di Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau, Pulau Pinang.
#Ahmad Fahmi Ibrahim
#hilang
#Kuala Kangsar
#media sosial
#Nurfarhana Ibrahim
#polis
#sekolah
#Sekolah Kebangsaan Genting