Ini realiti kehidupan miskin bandar Kuala Lumpur ketika PKP - UNICEF, UNFPA

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 24, 2020 15:00 MYT
Mereka yang menetap di PPR merupakan kumpulan masyarakat paling berisiko terhadap sebarang bentuk kejutan ekonomi. - Gambar Astro AWANI / SHAHIR OMAR
GOLONGAN berpendapatan rendah, wanita dan kanak-kanak adalah individu yang paling terjejas akibat COVID-19.
Ini kerana mereka adalah kumpulan paling berisiko terhadap sebarang bentuk kejutan ekonomi.
Itu antara rumusan laporan Families on the Edge - Siri Ogos 2020 yang dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA).
Kajian itu melibatkan 500 ketua isi rumah serta temu bual dengan 30 responden yang majoritinya adalah wanita yang menjadi ketua keluarga.
Ini fakta penting dan rumusan dapatan kajian tersebut:
1) Keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur terjejas teruk akibat krisis COVID-19, sama ada dibuang kerja, jam kerja dipotong dan berdepan pelbagai cabaran dalam mendapatkan perkhidmatan sosial seperti kesihatan dan pendidikan di rumah. 2) Keupayaan mereka mendepani krisis COVID-19 terhalang disebabkan simpanan yang kurang, akses yang terhad kepada pelindungan sosial pekerjaan selain kewujudan individu berkeperluan khas dalam isi rumah seperti warga emas, orang kurang upaya dan pesakit kronik.
3) Wanita yang mengetuai isi rumah merupakan mereka yang dibuang kerja selain kadar akses kepada perlindungan sosial yang rendah.
4) Kanak-kanak dalam isi keluarga ini juga berdepan kemerosotan kualiti makanan disebabkan perubahan pada pengambilan makanan. Kualiti pendidikan turut terjejas ekoran kesukaran meneruskan pembelajaran di rumah.
5) Bantuan Prihatin Nasional (BPN) menjadi antara usaha yang diakui banyak membantu mereka. Pada masa sama, mereka turut menyuarakan harapan supaya lebih banyak bantuan mampan dilaksana untuk mereka bangkit kembali.
6) Wanita dan kanak-kanak dalam isi rumah ini menunjukkan daya tahan luar biasa mendepani krisis ini. Mereka mengukuhkan jaringan bersama keluarga dan komuniti, saling membantu pada ketika ini.
#hilang pekerjaan #Kanak-kanak #kehidupan PPR Kuala Lumpur #keluarga #kerajaan #kesihatan #koronavirus #miskin bandar #penganggur #PKP #PPR Kuala Lumpur #wanita #warga emas
;