'Ini musim monsun terburuk dalam sejarah' - Penduduk Hulu Terengganu
Bernama
Januari 22, 2017 19:05 MYT
Januari 22, 2017 19:05 MYT
Musim monsun terburuk dalam sejarah daerah Hulu Terengganu!
Situasi itu digambarkan penduduk setempat apabila rata-rata mereka menjadi mangsa banjir yang berulang, iaitu tiga kali dalam tempoh sebulan berbanding sebelum ini yang hanya melalui dua gelombang banjir.
Mangsa banjir, Yunoh Arif, 67, dari Kampung Tok Lawit berkata sebelum ini banjir yang berlaku hanya melibatkan dua gelombang tetapi tahun ini beliau berdepan dengan tiga gelombang dan terpaksa berpindah buat kali ketiga semalam.
"Seingat pak cik, dari kecik (kecil) dok (tak) pernah lagi berlaku banjir sampai tiga kali dalam tempoh sebulan! Biasanya hanya dua kali sebulan...tak pun, dua kali dalam tempoh dua bulan. Tapi kali ni, tiga kali dalam tempoh tak sampai pun sebulan.
"Memang banjir kali ni dok lama...hanya dua tiga hari, kemudian surut...tapi selang dua tiga hari hingga dua minggu, banjir mari pulok (datang kembali)," katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Tok Lawit di sini hari ini.
Yunoh berkata berdepan dengan situasi banjir sedikit sebanyak menyukarkan dirinya yang sudah uzur dan pergerakan juga terhad.
"Memang lenguh kena pindah ni...kena angkat barang-barang ke tempat tinggi. Bila banjir surut, nak kena basuh rumah lagi. Tahun ni, dah tiga kali pak cik angkat peti, mesin basuh ke tempat tinggi...mujurlah cucu ada tolong pak cik," katanya.
Bagi Semek Mohamad, 51, dari Kampung Nibong berkata banjir kali ini berbeza berbanding banjir yang berlaku di kampung tersebut sebelum ini.
"Tahun 1986, boleh dikatakan agak teruk...tapi tahun ini lagi teruk masa gelombang kedua. Masa 1986 tu, walaupun air besar, tapi banjir hanya satu kali setahun. Kali ni sampai tiga kali.
"Selalunya kalau pindah hanya sekali tapi kali ni sampai tiga kali...kami anggap ini ujian," katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Latifah Mohd Arif, 33, dari Kampung Kuala Ping berkata beliau tidak menyangka banjir akan kembali melanda untuk kali ketiga memandangkan cuaca panas terik dua minggu lalu.
"Lepas banjir kali kedua tu, kak sekeluarga lega lah bila panas terik, ingat tak banjir dah. Tapi bila hujan lebat sehari je, banjir pulak lagi sekali. Terpaksa pindah lagi sekali.
"Banjir ni memang ujian sungguh bagi kak, sebab kak ada anak kecik, baru tiga bulan. Payahlah nak bergerak bila ada bayi ni...apa-apa kena utamakan dia," katanya yang terpaksa berpindah kira-kira 5 pagi kelmarin setelah rumahnya dinaiki air.
Latifah berkata beliau juga turut mengalami kerugian ketika banjir gelombang kedua kerana tidak sempat menyelamatkan barang setelah air naik mendadak.
"Habis semua peti ais, mesin basuh, meja makan...tak sempat nak diselamatkan," katanya. -- Bernama