'Ini masalah (privasi) keluarga, jangan ada masuk campur' - Musa Hassan
Astro Awani
Mac 7, 2023 21:11 MYT
Mac 7, 2023 21:11 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi peringatan agar orang ramai tidak membuat spekulasi dan mencampuri urusan membabitkan keluarganya.
Ujarnya, individu yang berbuat demikian akan berdepan dengan tindakan undang-undang.
"Ini adalah masalah privasi keluarga. Jangan ada yang masuk campur. Jika ada yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang," katanya dalam ciapan di Twitter, pada Selasa.
Tular di media sosial sejak awal Selasa, tiga klip video pendek yang memaparkan pertelingkahan membabitkan seorang lelaki dan wanita serta seorang kanak-kanak lelaki.
Namun, tiada pengesahan perbalahan itu membabitkan diri atau keluarga beliau.
Seorang pengguna Twitter turut menyuarakan kekhuatiran terhadap nasib kanak-kanak dalam video terbabit yang mungkin berdepan trauma.