Ini masa terbaik Malaysia bincang isu kadar air 3 sen dengan Singapura - Penganalisis
Fareez Azman
Januari 20, 2019 18:08 MYT
Januari 20, 2019 18:08 MYT
Ini adalah masa terbaik buat Malaysiamembincangkan isu kadar air 3 sen berrsama negara jiran Singapura yang dikenakan sejak tahun 1962.
Pakar Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Azmi Hassan berpendapat, pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu sesi soal jawab di Kesatuan Oxford pada Jumaat jelas menunjukkan ketegasan Malaysia dalam mempertahankan hak negara dan menyelesaikan isu-isu dua hala kedua-dua negara, termasuk isu kadar air.
"Dua isu utama ketika ini adalah isu sempadan Maritim Johor Bahru dan penggunaan Sistem Pendaratan Instrumen (ILF) di Lapangan Terbang Selatar. Dalam hal ini Malaysia berada dalam kedudukan baik (untuk berunding).
"Sebab yang meminta adalah pihak Singapura terutamanya sekali penggunaan ILF di Lapangan Terbang Seletar. Sebab itu dikatakan sebagai jiran, Malaysia boleh masukkan perbincangan isu kadar air, selama itu kadar air tidak dapat diselesaikan selama itu duri dalam daging itu ada," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Malaysia kini tegas pertahan hak
Kata Prof Azmi lagi, ketegasan Perdana Menteri untuk mempertahankan hak negara juga terserlah ketika menjawab isu berkaitan tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang didakwa menceroboh perairan republik itu pada 9 Januari lalu.
''Apabila PM (Tun Mahathir) mempertahankan MB Johor (Datuk Osman Sapian), selama ini tidak ada dikatakan pihak Malaysia mempertahankan MB, dengan tindakan MB itu betul. Ia dikatakan secara berseloroh, tindakan Singapura macam MB mahu berperang.
"Saya membaca Malaysia bertegas mempertahankan apa hak kita sebenarnya," jelasnya.
Namun ketegangan hubungan di antara kedua-dua negara itu ujarnya adalah isu bilateral biasa terhadap negara yang berjiran dan tiada kaitan dengan politik tanah air mahupun republik itu.
Cuma katanya dikhuatiri ada sesetengah pihak cuba memainkan isu berkenaan demi kepentingan mendapat sokongan tertentu.
Tambahnya sekiranya Singapura prihatin untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan, republik itu juga perlu melihat semula perkara yang dibangkitkan Malaysia bagi memastikan hubungan kedua negara terus harmoni.