Ini lima tumpuan ucapan Perdana Menteri sempena Hari Wanita 2021
Hasimi Muhamad
Mac 8, 2021 13:41 MYT
Mac 8, 2021 13:41 MYT
PUTRAJAYA: Hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia berjaya menyambut komitmen pengisian sekurang-kurangnya 30 peratus Ahli Lembaga Pengarah wanita setakat Oktober lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Wanita 2021 secara maya, hari ini.
Katanya lagi, pencapaian memperlihatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai bidang masih kurang diberi perhatian sepenuhnya.
Berikut tumpuan ucapan Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Wanita 2021:
1. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita dan akan memastikan ia terus menjadi agenda penting negara.
2. Kajian menjangkakan pertambahan penyertaan 30 peratus wanita dalam pasaran buruh Malaysia, mampu meningkatkan KDNK negara antara tujuh peratus hingga 12 peratus setahun.
3. Tugas memperkasa wanita perlu diperkemaskan kerana mereka masih terbelenggu dengan pelbagai isu termasuk stigma dan stereotaip.
4. Kerajaan cadang perluas kemudahan Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh bagi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.
5. Insentif suntikan modal perniagaan dikenali sebagai MyKasih Kapital membolehkan bantuan modal maksimum sebanyak RM1,000 diberikan kepada sekurang-kurangnya 2,000 orang penerima yang berkelayakan.
#Perdana Menteri
#KDNK
#hari wanita sedunia
#pemerkasaan wanita
#Muhyiddin Yassin
#Bekerja Dari Rumah BDR
#peranan wanita