"Ini khidmat buat negara" - Pasangan pertama Malaysia lengkap dos vaksin AZ kongsi perasaan

Hasimi Muhamad
Julai 5, 2021 21:20 MYT
Abdullah Faiz dan isteri menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 di aplikasi MySejahtera selepas melengkapkan dua dos vaksin AstraZeneca - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: "Ini adalah khidmat buat negara."
Demikian luah Abdullah Faiz Zain yang menjadi rakyat Malaysia pertama melengkapkan dua dos suntikan vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Isnin.
Abdullah Faiz yang juga pesara Diplomat Wisma Putra tidak menyangka menjadi penerima terawal suntikan vaksin berkenaan selepas ia dibuka secara sukarela kepada orang ramai pada Mei lalu.
BACA: Remaja mempunyai masalah kesihatan akan diberikan vaksin Pfizer - Menteri Kesihatan
BACA: 20 juta dos vaksin dijangka diterima sepanjang Julai
Lebih menggembirakan, beliau yang juga Duta Besar pertama Malaysia ke Timor Laste teruja selepas isterinya, Wan Ehsan Wan Taib turut menjadi antara penerima suntikan vaksin tersebut.
"Saya dimaklumkan kami adalah pasangan pertama (yang menerima vaksin AstraZeneca), dan untuk dos kedua hari ini saya datang seperti biasa.
"Sebenarnya, untuk dos pertama ia juga hanya berlaku, saya datang bukan untuk menjadi orang pertama tetapi saya datang untuk mendapatkan vaksin.
"Saya gembira kerana ia khidmat untuk negara," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Isnin.
Berkongsi lebih lanjut, Abdullah, 66, berkata proses pemberian vaksin berjalan dengan lancar.
Bapa kepada empat cahaya mata itu menambah, anak-anaknya juga menggalakkan untuk beliau dan isteri mendaftarkan diri sebagai sukarelawan vaksin AstraZeneca.
BACA: COVID-19: Pemberian vaksin AstraZeneca secara sukarela bermula hari ini
"Saya tak rasa takut.... Apabila (kerajaan) membuka (peluang untuk dapatkan AstraZeneca), saya sangat gembira. Begitu banyak (khabar angin) mengatakan jangan (ambil).
"Apabila anda sudah mendapatkan vaksin, sekurang-kurang 60 peratus badan kita sudah imun, dan saya harap apabila mendapatkan dos kedua, ia (sistem imun) boleh mencecah 100 peratus," tambahnya.
Ditanya mengenai segelintir individu yang takut untuk mengambil vaksin, Abdullah Faiz berkata ia hanyalah persepsi semata-mata.
"Saya tak pasti sama ada saya ini mewakili semua orang yang mendapat AstraZeneca... Saya tidak mempunyai sebarang masalah (simptom).
"Saya rasa rakyat jelata tidak sepatutnya risau, dan ambillah vaksin. Kerajaan juga telah menggalakkan kita berbuat demikian, jadi apa nak risau?," katanya.
Justeru, Abdullah Faiz berharap orang ramai boleh memainkan peranan masing-masing untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan mendapatkan vaksinasi.
Malaysia mula mengagihkan vaksin AstraZeneca sejak 5 Mei lalu.
#Rakyat Malaysia pertama lengkap dua dos vaksin AZ #Abdullah Faiz Zain #vaksinasi #warga emas #AstraZeneca #PKP 3 0 #Covid-19 Malaysia #berita hari ini
;