"Ini kelas membacakan? Semua datang membaca" - Hannah tegur Timbalan Menteri

Hasimi Muhamad
Oktober 6, 2021 15:53 MYT
Hannah dilihat bangkit mempersoalkan tindakan timbalan menteri yang tidak menjawab soalan yang dibangkitkan oleh wakil pembangkang - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas situasi tegang berlaku pada sesi Penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, nampaknya keadaan sama berlanjutan sehingga kepada waktu penggulungan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Hannah Yeoh (PH-Segambut) dilihat bangkit mempersoalkan tindakan timbalan menteri yang tidak menjawab soalan yang dibangkitkan oleh wakil pembangkang.
Ini kerana, Hannah berkata, tindakan 'membaca' kenyataan bertulis tidak membawa apa-apa makna.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri KKMM, Datuk Zahidi Zainul Abidin dilihat tidak mengendahkan celahan tersebut, sebaliknya meneruskan penggulungan RMK12.
"Tak boleh tanya soalan... jawapan bertulis semua tak ada makna. (Kementerian) tak menjawab soalan Ahli Parlimen. Kalau semua datang baca skrip, siapa pun boleh jadi menteri. Kena jawab soalan Ahli Parlimen, baru perbahasan ada makna.
"Dan soalan tambahan ini, tidak boleh dilihat sebagai serangan...," katanya di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Pada masa sama, Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) berkata, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mempunyai kuasa untuk membuat satu 'ruling' bagi membolehkan timbalan menteri menjawab soalan yang diajukan Ahli Parlimen.
Hannah pula menambah: "Tuan Yang Dipertua, tanggungjawab Tuan Yang Dipertua adalah untuk menjadi fasilitator agar perbahasan...," sebelum mikrofon beliau ditutup.
Rashid kemudian menjawab: "Petua saya ialah, saya telah panggil Timblan Menteri Multimedia... saya minta tidak ada siapa yang menjawabnya, dan saya panggil timbalan menteri untuk meneruskannya."
Bagaimanapun, Hannah dilihat kurang berpuas hati dengan jawapan tersebut, lalu berkata: "Yang Dipertua panggil (timbalan) menteri untuk membaca ya... Ini kelas membaca kan? Semua datang membaca..."
#Dewan Rakyat #RMK12 #Hannah Yeoh #Dewan Rakyat kecoh
;