Ini kali ketujuh: Mangsa banjir Baling dah letih namun reda

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 10, 2022 18:32 MYT
Zainab Ahmad, 63, peniaga kedai runcit di Kampung Tanjung Merbau melihat kedai runcitnya dimasuki air dan mengakibatkan barangannya rosak ditenggelami air.- Foto Astro AWANI
BALING: Tujuh kali dilanda banjir dan tidak terhitung kerugian terpaksa ditanggung akibat kerosakan barangan niaga dan peralatan rumah.
Demikian luahan Zainab Ahmad, 63, peniaga kedai runcit di Kampung Tanjung Merbau apabila kedai runcitnya dimasuki air dan mengakibatkan barangannya rosak ditenggelami air.
Menurut ibu kepada dua anak ini, kejadian yang berlaku pada petang Ahad itu membuatkan dia tidak sempat memindahkan semua barang ke tempat selamat kerana air datang dengan deras dan cepat.
Zainab yang berniaga lebih lima tahun di kampung itu hanya reda dan pasrah kerana ini kejadian ketujuh dalam tempoh dua tahun kedai runcit miliknya dilanda banjir.
"Sampai tujuh kali masuk air kerugian yang itu lah yang mana masuk air tu rugi lah tidak boleh nak jual," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Bagi Abdul Mutalif Che Hin, 63, pula, setiap kali banjir peralatan rumah seperti tilam, perabot dan barangan elektrik musnah di bawa arus.
Dia yang uzur selepas diserang strok tidak terdaya untuk mengalihkan barangan dan hanya mampu mengharapkan bantuan daripada anak serta jirannya.
"Habis cerita letih ni tetapi tiada daya hendak buat apa kita tinggal di sini terpaksa nak buat tapak rumah tempat lain tak ada tempat cuma di sini sahaja," luahnya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata air telah surut dan pusat pemindahan sementara (PPS) Kompleks Rakan Muda Batu 42 telah ditutup tengah hari tadi.
Katanya, kesemua 151 mangsa daripada 49 keluarga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Bagaimanapun pihaknya masih melakukan pemantauan terutama di kawasan berisiko banjir ekoran Sungai Ketil di Kampung Padang Pulai, Baling berada pada paras bacaan 15.9 meter (m) dimana melepasi tahap amaran 15.8 m.
"Mangsa-mangsa yang berada di persisir sungai ataupun di tepi-tepi sungai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal supaya berpindah jika terdapat amaran bencana akan berlaku dan untuk memudahkan pihak penyelamat penduduk kampung untuk segera membantu sebagai tindakan awal pasukan untuk memindahkan mangsa-mangsa yang sakit dan usur ke tempat selamat," katanya.
Dalam kejadian banjir kilat yang berlaku pada petang semalam mengakibatkan 151 mangsa dari Kampung Carok Sikin, Paya dan Tanjung Merbau terjejas dan terpaksa berpindah ke PPS.
#banjir
;