'Ini jihad saya' - Bekas isteri SM Faisal hadir serah diri

Hasimi Muhamad
Jun 27, 2022 10:35 MYT
Emilia tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Syariah bagi menyerah diri dan menjalani hukuman penjara kerana mengubah tarikh lawatan anaknya. -Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Bekas isteri ahli perniagaan terkemuka, Emilia Hanafi tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini bagi menyerah diri dan menjalani hukuman penjara kerana mengubah tarikh lawatan anaknya.
Emilia, 43, yang memakai jubah berwarna putih hadir sekitar pukul 10 pagi ditemani peguamnya, Siti Kassim.
Turut hadir puluhan individu yang memakai jubah hitam dipercayai sebagai menunjukkan solidariti kepada Emilia.
Emilia yang ditemui media di pekarangan mahkamah berkata, kehadirannya walaupun 'secara protes' disifatkan sebagai jihad dalam memperjuangkan keadilan buat dirinya.
“Semoga kes saya menjadi kes contoh, saya dapat keadilan yang sewajarnya dan ada pihak-pihak membantu untuk melihat kes saya di Mahkamah Syariah,” katanya yang mengakui bersedia dengan sebarang arahan mahkamah, hari ini.
Terdahulu, Siti Kassim berkata Emilia, yang merupakan bekas isteri kepada Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, SM Faisal SM Nasimuddin terpaksa berbuat demikian kerana tekanan emosi berterusan dan trauma dihadapinya.
Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana mengubah tarikh lawatan anaknya.
Bagaimanapun, Emilia dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.
Sebelum itu pada Julai 2018, Mahkamah Syariah membenarkan bekas suami Emilia, Faisal, mendapat hak lawatan ketiga-tiga anaknya, Fawwaz, Faiz dan Farhan.
Hak jagaan penuh diberikan kepada Emilia selepas tiga tahun proses turun naik mahkamah.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2002 dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Faisal dan Emilia bercerai pada Mac 2016.
#Emilia Hanafi #jalani hukuman penjara #ubah tarikh lawatan anak #sm faisal sm nasimuddin
;