'Ini ikan tenggiri?'- Asyraf Wajdi terjah dewan makan MRSM

Sinar Harian
September 6, 2024 19:22 MYT
Asyraf (baju biru) menjalankan 'terjahan' di dewan selera MRSM Taiping, Perak.
SHAH ALAM: Menu makan malam yang ditetapkan dalam piawaian Majlis Amanah Rakyat (Mara) didakwa tidak diikuti oleh pengusaha dewan selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak.

Ringkasan AI
  • Pengusaha dewan selera MRSM Taiping didakwa tidak mengikut piawaian menu dan kebersihan yang ditetapkan oleh Mara, termasuk menyediakan ikan yang tidak sesuai dengan menu yang sepatutnya.
  • Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, melaporkan pelajar mengadu tentang dakwaan kejadian keracunan makanan yang berulang, termasuk menemui ulat dan serangga dalam hidangan.
  • Pengusaha dewan selera diberi tempoh sehingga Jumaat untuk menyelesaikan isu-isu tersebut, dan tindakan tegas akan diambil jika masalah tidak diselesaikan.

Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, satu ‘terjahan’ dijalankan bagi meninjau keadaan penyediaan makanan berikutan seramai 31 pelajar mengalami keracunan sehingga dikejarkan ke hospital pada 30 Ogos lalu.
Menurutnya, pengusaha dewan selera MRSM itu didakwa tidak mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh Mara.
“Ini dikatakan ikan tenggiri? Dalam menu yang ditetapkan oleh Mara, menu makan malam ialah ikan tenggiri.
“Antara piawaian itu adalah pekerja tidak mencukupi, tidak mengikut menu harian yang ditetapkan serta keadaan kebersihan dapur berada di tahap yang tidak memuaskan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Semasa ‘terjahan’ itu, Asyraf memaklumkan bahawa pelajar mendakwa kejadian sama pernah berlaku tahun lalu mengakibatkan sehingga 50 murid terkesan dengan keracunan makanan.
“Rupa-rupanya ini bukan kes pertama yang berlaku. Mereka juga berkongsi kepada saya gambar-gambar ulat dalam nasi, sayur dan serangga di dalam hidangan.
“Perkara itu amat mendukacitakan saya,” ujarnya.
Tambah Asyraf, pengusaha dewan makan itu diberi tempoh sehingga Jumaat untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan atau tindakan selanjutnya akan dikenakan.
Ujarnya, beliau tidak akan berkompromi dan bersikap tegas terhadap isu yang melibatkan kesihatan murid-murid.
“Kesihatan, keselesaan dan kebajikan anak-anak MRSM adalah perkara yang amat saya titik beratkan dan tiada kompromi dalam hal ini.
“Selagi saya menjadi Pengerusi Mara, saya akan pastikan perkara-perkara ini diambil berat oleh pegawai-pegawai demi kebajikan dan keselesaan anak-anak MRSM,” katanya. - Sinar Harian
#Asyraf Wajdi Dusuki #MRSM #dewan makan #Tular
;