'Ini hadiah untuk arwah mama yang pergi kerana COVID-19'
Sinar Harian
Jun 11, 2021 10:18 MYT
Jun 11, 2021 10:18 MYT
MELAKA: Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sedih apabila tidak dapat berkongsi kegembiraannya berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A bersama ibunya yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada dua minggu lalu.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, Seremban, Afiya Adzahar,18, berkata, arwah ibunya Rosliwati Rosdi, 58, sentiasa memberikan sokongan termasuk ketika berdepan cabaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memandangkan rumahnya di Kampung Bukit Kecil, Paya Dalam di sini, terletak di kawasan luar bandar dan menghadapi masalah rangkaian jalur lebar.
Menurut Afiyah, ibunya meninggal dunia ketika berada di Kuantan, Pahang dan dia mendapat perkhabaran sedih itu selepas sehari mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) pada 27 Mei lalu.
Katanya, biarpun masih bersedih, namun dia reda dengan dugaan kehilangan orang tersayang akibat pandemik itu dan menganggap keputusan yang diperoleh itu sebagai hadiah atas pengorbanan arwah ibu.
"Saya nak berkongsi kegembiraan dengan mama tapi mama tiada, namun saya yakin mama di sana gembira dengan kejayaan saya.
"Mama insan yang paling banyak beri sokongan, sentiasa ada di sisi saya dalam apa keadaan sekali pun," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.
Mengulas lanjut, Afiyah yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik berkata, arwah ibunya mengimpikan dia bergelar doktor suatu hari nanti.
Katanya, walaupun ibunya sudah tiada, namun dia masih bersyukur mempunyai bapa, Adzahar Abu Bakar, 59, untuk berkongsi kegembiraan memperoleh keputusan cemerlang.
"Alhamdulillah walaupun percubaan lalu saya mendapat 8A,1B, namun berkat doa ibu bapa dan guru saya berjaya mendapat keputusan 9A," katanya yang mahu menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bercerita mengenai kunci kejayaannya, Afiyah berkata, dia sering menunaikan solat sunat dhuha selain mengamalkan surah-surah tertentu seperti surah al-Waqiah, ad-Dukhan dan al-Mulk setiap malam.
"Memang itulah surah yang saya baca dan aktiviti itu memang telah diterapkan ketika saya duduk di asrama dari Tingkatan Satu dan semuanya kerana pertolongan ALLAH SWT," katanya.
Artikel Penuh : 'Ini hadiah untuk arwah mama yang pergi kerana Covid-19'
#Sijil Pelajaran Malaysia
#SPM
#keputusan cemerlang
#9A
#Afiya Adzahar
#Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani
#Rosliwati Rosdi
#spm result
#keputusan spm