"Ini fitnah yang sangat kejam dan melampau" - Ebit Lew
Astro Awani
Ogos 19, 2021 15:46 MYT
Ogos 19, 2021 15:46 MYT
KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ebit Lew selesai memberi keterangan di Bukit Aman tengah hari tadi bagi membantu siasatan berkait dakwaan gangguan seksual.
Beliau bersama peguamnya dipercayai keluar dari pintu utama Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sekitar jam 2 petang tadi.
Menurut Ebit, proses rakaman percakapan itu berlangsung selama satu jam.
"Saya dipanggil untuk membantu siasatan sebagai saksi atas pertuduhan atau gosip-gosip di luar sana. Saya hanya membantu siasatan dan serah kepada pihak polis sepenuhnya.
"Ini satu fitnah yang sangat kejam dan melampau. Saya reda sahaja dan saya serahkan semuanya kepada pihak polis," katanya ketika ditemui media di Bukit Aman, di sini hari ini.
Beliau pada masa sama mengakui, tohmahan yang dilemparkan ke atas dirinya tidak pernah dan tidak akan melemahkan semangatnya dalam misi kemanusiaan untuk terus membantu individu yang memerlukan bantuan.
"Saya percaya, hidup ini satu tujuan iaitu untuk Allah sayang.
"Saya maafkan sesiapa sahaja yang mungkin, apa sahaja yang terjadi di luar sana, mungkin (orang ramai) boleh menilai sendiri.
"Saya maafkan semua sekali, siapa sahaja pun.
"Apa yang terjadi ini buatkan saya semakin bersemangat, saya akan teruskan usaha membantu," katanya.
#Polis Diraja Malaysia
#Ebit Lew
#gangguan seksual
#PDRM
#pendakwah
#fitnah
#siasatan
#bantu siasatan PDRM