Ini bukan pengakhiran, saya tidak akan lari - Syed Saddiq
Astro Awani
Oktober 28, 2022 11:30 MYT
Oktober 28, 2022 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar beliau membela diri dalam kes empat pertuduhan dihadapinya bukanlah satu pengakhiran.
Malah Presiden MUDA itu memberi jaminan beliau tidak akan melarikan diri daripada sistem kehakiman negara.
"Kami tidak takut, kami tidak gentar. Ini masa untuk kami membela diri. Kami tidak akan lari dari sistem kehakiman dan ia belum berakhir.
"Mama dan Abuyah, segala-galanya bagi saya. Ini bukan kekalahan, sekarang adalah masa kita untuk mengeluarkan cerita dari sisi kita!
"Percayalah, ini bukan pengakhiran, kebenaran akan ditegakkan," katanya dalam ciapan di Twitter, pada Jumaat.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Syed Saddiq membela diri atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Presiden MUDA yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) itu.
Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 30 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 21 Jun lalu.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Syed Saddiq membela diri bermula 22 hingga 24 Februari serta 13 dan 14 Mac dan 10 hingga 14 April tahun hadapan.
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
#empat pertuduhan termasuk pecah amanah
#diarah bela diri