Ini barulah 'Masyarakat dan Polis Berpisah Tiada'
Ridauddin Daud
Ogos 10, 2020 18:59 MYT
Ogos 10, 2020 18:59 MYT
TINDAKAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bertemu dengan Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali Asri Janggut mendapat respons positif daripada warganet yang memuji pendekatan Abdul Hamid.
Menerusi laman Facebook rasmi beliau, Abdul Hamid malah mengucapkan terima kasih kepada Mohd Asri kerana meluangkan masa bertemu dengannya di pejabat beliau di Kuala Lumpur.
“Terima kasih saudara Asri, Pengasas Hot Burger Malaysia kerana sudi hadir ke pejabat saya,” tulisnya dalam laman Facebook beliau pada Isnin.
Bahkan, Abdul Hamid turut berkongsikan tanda pagar #PolisDanMasyarakatBerpisahTiada dalam status dimuat naiknya itu.
Ternyata tindakannya itu mendapat pujian warganet yang kagum dengan cara beliau menangani isu tersebut dan turut mendoakan agar semuanya berjalan dengan lancar.
Setakat artikel ini ditulis, status yang dimuat naik Abdul Hamid itu sudah mendapat lebih 10,000 tanda suka, lebih 3,400 perkongsian dan 1,400 komen hanya selepas lebih satu jam ia dinaikkan.
Dalam pada itu, Astro AWANI pada Isnin melaporkan tiada lagi kelibat peniaga warga asing berniaga di tepi jalan malah kedai menjual buah dan rokok seludup didakwa milik peniaga asing juga sudah dirobohkan.
Tinjauan juga mendapati khemah-khemah peniaga yang diletakkan di atas tapak parkir seperti didedahkan dalam video ‘Asri Janggut’ baru-baru ini juga sudah tidak kelihatan.
Berdasarkan maklumat daripada penduduk tempatan, pihak berkuasa melakukan operasi di kawasan itu pada Ahad dan difahamkan kedai menjual buah milik warga asing yang tular itu turut dirobohkan pada hari sama.
Menurut mereka, kawasan berhampiran yang biasanya dipenuhi peniaga kini juga lengang kerana peniaga bimbang barangan mereka turut disita dan dirampas dalam operasi pihak berkuasa.
Tinjauan Astro AWANI ke lokasi lain juga mendapati beberapa gerai yang difahamkan selalunya menjual rokok seludup juga tidak beroperasi pada hari tersebut.
Terdahulu, tular dua versi video berdurasi 13 minit 28 saat dan lapan minit 29 saat yang dibuat secara langsung oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.
Perkara itu mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang memaklumkan pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar menerusi sidang akhbar semalam memaklumkan, pihaknya telah melakukan enam serbuan di lokasi berasingan di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.
Pada Isnin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan pihak berkuasa cuba lindungi premis perjudian haram di sekitar Sungai Buloh, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
#Asri Janggut
#Astro Awani
#burger
#Facebook
#haram
#Hot Burger
#kedai judi
#Ketua Polis Negara
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#operasi
#peniaga
#polis
#Rasuah
#SPRM
#Sungai Buloh
#Tan Sri Abdul Hamid Bador
#video
#viral
#warga asing