Ini antara sorotan utama lawatan PM ke India

Umavathi Ramayah
Ogos 17, 2024 10:00 MYT
Lawatan sulung Anwar Ibrahim ke India selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Isnin ini dijangka mengeratkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Lawatan sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Isnin ini dijangka mengeratkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Anwar pernah berkunjung ke republik itu pada Januari 2019 untuk menghadiri persidangan di New Delhi dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Narendra Modi ketika itu.
Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Anwar menerima kunjungan hormat Menteri Luar India, Dr S Jaishankar pada Mac lalu di Putrajaya, yang mengulangi pelawaan Modi untuk beliau melawat India.
Pertama kali Modi ke Malaysia adalah ketika kepimpinan Datuk Seri Najib Razak pada 23 November 2015.
Sebagai simbolik persabahatan antara India dan Malaysia, Modi dan Najib merasmikan Gerbang Torana di Little India Brickfields, Kuala Lumpur, yang merupakan hadiah kerajaan India kepada Malaysia.
Tiga tahun kemudian, Modi yang dalam perjalanan ke Singapura, singgah di Malaysia untuk mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kejayaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ini antara sorotan utama lawatan PM ke New Delhi bermula Isnin ini.
Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian dua hala
Dalam lawatan tiga hari ini, beberapa perjanjian dijangka ditandatangani antara India dan Malaysia.
Perjanjian itu dijangka memperinci kerjasama kedua-dua negara negara mengenai isu pembangunan, pelaburan, teknologi, keselamatan serantau, pertahanan, pelancongan selain sektor yang akan diberi tumpuan iaitu pekerjaan, pengambilan dan penghantaran pulang pekerja.
Dilaporkan terdapat 185,000 ekspatriat India di Malaysia.
Pada 2017, kedua-dua negara menandatangani perjanjian perniagaan bernilai RM152 bilion dengan pertukaran 31 MOU perniagaan, yang terbesar dalam sejarah hubungan ekonomi antara dua negara.
Mengukuhkan hubungan dua hala
Memetik laporan media India, lawatan ini diyakin akan menjadi peluang terbaik kedua-dua negara untuk merapatkan kembali hubungan selepas mengalami sedikit 'ketegangan'.
Sebelum ini, Modi menggesa Malaysia untuk mengekstradisi pendakwah kelahiran India, Dr Zakir Naik yang dikehendaki New Delhi atas dakwaan menghasut keganasan dan pengubahan wang haram.
Namun Malaysia menegaskan pendiriannya untuk tidak menghantar pulang penceramah bebas itu ke negara asal walaupun terdapat tuntutan dari dari republik itu.
Import minyak kelapa sawit
'Ketegangan' yang berlarutan sejak kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu menyebabkan India menghadkan import minyak sawit dari Malaysia.
India merupakan pengimport utama minyak sawit Malaysia dengan nilai dan kuantiti masing-masing berjumlah RM7.08 bilion dan 1.81 juta tan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023.
Dalam pertemuan ini, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dan perkembangan industri sawit.
Perdagangan dan pelaburan
India dan Malaysia sedang dalam proses untuk memperkukuh rangka kerja bagi menjalankan perdagangan dalam mata wang negara.
Justeru lawatan ini dapat diyakini akan menjana nilai potensi pelaburan serta memperkukuhkan hubungan perdagangan dua hala.
Hubungan ekonomi dua hala kukuh direkodkan dengan nilai perdagangan semasa tahun fiskal 2022-2023 (April-Mac) sekitar AS$20 bilion (RM88.64 bilion).
HH Healthcare Malaysia melabur dalam hospital di India dan Petronas mempunyai projek penting dalam sektor tenaga.
Syarikat Malaysia turut mengendalikan projek jalan raya dan lapangan terbang utama di India.
Kerjasama serantau
Selain Malaysia, India juga dilihat mengutamakan hubungannya dengan rantau ASEAN dan komited untuk mengeratkan lagi hubungan itu dengan negara-negara anggota ASEAN selaras dengan Akta Dasar Timur kerajaannya.
Pertemuan ini dijangka membincangkan visi mereka untuk rantau Indo-Pasifik, terutama ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih pengerusi ASEAN pada 2025.
Penyertaan BRICS
Pertemuan empat mata ini juga dijangka membincangkan penyertaan Malaysia dalam organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
Anwar sebelum ini memaklumkan Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS.
Beliau juga sebelum ini mengadakan perbincangan mengenai pengembangan BRICS dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Isu keamanan
Perdana Menteri juga dijangka membincangkan isu Palestin dan Myanmar selain berkait isu Bangladesh.
#Anwar Ibrahim #Narendra Modi #BRICS #industri sawit
;