'Ini adalah satu tanggungjawab sosial dan solidariti' - sukarelawan ujian vaksin COVID-19
Astro Awani
Februari 8, 2021 16:47 MYT
Februari 8, 2021 16:47 MYT
KUCHING: Ramai masyarakat terlibat dalam perjuangan memerangi pandemik COVID-19 tidak kira siapa dan apa jawatan mereka.
Solidariti yang ditonjolkan oleh rakyat Malaysia ketika masa sukar ini terserlah apabila beberapa individu tampil untuk menjadi sukarelawan bagi ujian klinikal vaksin COVID-19.
Bermula 27 Januari lalu, ujian klinikal ini berjalan lancar di seluruh negara termasuk di Sarawak.
Kepada Astro Awani, seorang sukarelawan, Jonathan Ding, berkongsi pengalamannya ketika menjalani ujian klinikal tersebut yang dijalankan secara teliti.
“Saya melihat penglibatan saya ini sebagai satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan salah satu cara untuk saya membantu para pengkaji, pihak kesihatan dan juga syarikat yang mengeluarkan vaksin bagi mengkaji keberkesanannya.
“Kita tidak perlu takut, kerana saya percaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri mempunyai sistem kesihatan yang sangat baik dan terbukti berkualiti tinggi," kongsinya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Ujar Jonathan, para sukarelawan dimaklumkan secara terperinci berkenaan dengan proses pendaftaran serta prosedur agar lebih jelas dengan ujian klinikal yang dijalankan ke atas mereka.
Katanya lagi, prosedur pendaftaran sangat mudah dan selamat agar sukarelawan jelas dengan proses yang terlibat.
“Pada awalnya saya mendaftar secara dalam talian iaitu melalui aplikasi WhatsApp. Setelah itu, pihak hospital menghubungi saya untuk bertanya beberapa soalan awal. Antaranya berkenaan dengan sejarah kesihatan.
“Fasa seterusnya adalah untuk berjumpa dengan pihak hospital secara bersemuka untuk diambil sampel dan ujian fizikal serta melalui sesi konsultasi sebelum diluluskan untuk menjalani ujian klinikal.
"Kemudian, barulah diberikan suntikan pertama vaksin," tambah Jonathan.
Setelah menerima dos vaksin yang pertama, dia memberitahu para sukarelawan ujian klinikal vaksin COVID-19 ini akan dipantau selama 12 bulan oleh pihak hospital.
Dalam masa yang sama, mereka juga perlu mengisi buku laporan harian yang telah disediakan oleh pihak hospital bagi mengenalpasti sebarang kesan sampingan yang dilalui setiap hari.
Katanya, proses itu sangat penting bagi mengesan sebarang tindak balas vaksin yang diterima sebagai input akhir kajian tersebut.
“Setiap hari saya mesti merekodkan suhu badan, dan jika ada sebarang kesan sampingan seperti mual, demam, cirit-cirit dan sebagainya perlu dijelaskan secara terperinci oleh setiap sukarelawan," ujarnya.
Selain Jonathan, seramai 500 individu lain di negeri itu telah mendaftar sebagai sukarelawan ujian klinikal vaksin COVID-19 fasa ke-3.
Daripada jumlah tersebut, 23 sukarelawan antara kumpulan pertama yang telah menandatangani persetujuan untuk menerima suntikan.
Untuk makluman, Hospital Umum Sarawak (HUS) adalah merupakan antara sembilan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) seliaaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dibenarkan untuk menjalankan ujian klinikal ini.
#ujian klinikal vaksin
#COVID-19
#pandemik
#Ujian klinikal fasa ke-3
#Hospital Umum Sarawak HUS
#Kementerian Kesihatan Malaysia KKM
#Pusat Penyelidikan Klinikal CRC