Ini adalah politik selamatkan diri, bukan selamatkan negara dan rakyat
Agensi
Januari 8, 2021 13:36 MYT
Januari 8, 2021 13:36 MYT
KETIKA negara masih lagi berperang dengan COVID-19 dan ribuan berusaha untuk memulihkan ekonomi, rakyat terpaksa pula berdepan kerenah ahli politik yang sibuk dengan cita-cita dan mengumpul sokongan.
Penasihat Star Publications (M) Berhad, Wong Chun Wai berkata, ada ahli politik sekarang mengatakan pilihan raya umum dapat diadakan, mengambil contoh Singapura dan Korea Selatan yang menjalankannya dengan berkesan.
Tegasnya, beliau tidak pasti sama ada boleh mempercayai ahli politik jika mengambil kira keadaan yang berlaku di Sabah pada tahun lepas.
“Di Sabah (Pilihan Raya Negeri), prosedur operasi standard (SOP) telah diabaikan sama sekali tahun lalu. Saya mungkin yakin, dalam kes Sarawak, yang tidak seperti Sabah, tidak dibanjiri orang asing, sekiranya pemilihan negeri diadakan tidak lama lagi.
“Tetapi pilihan raya umum, saya tidak pasti. Bagi ahli politik, yang berdepan hukuman mahkamah, ini adalah soal hidup dan mati bagi karier mereka, secara harfiah.
“Kemudian, ada mereka yang dulu berkuasa dan sekarang ingin sekali lagi kembali menjadi pemerintah dengan pelbagai cara,” katanya menerusi artikel disiarkan The Star pada Jumaat.
Tambahnya, prinsip politik yang dipegang selama ini nampaknya sudah semakin lenyap.
“Seperti yang mereka (kata-kata daripada orang awam) katakan, ini adalah politik selamatkan diri, bukan selamatkan negara dan rakyat,” ujarnya.
Katanya lagi, semua kerja keras barisan hadapan pada bulan Mac ketika Malaysia diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), nampaknya hanya sia-sia.
“Sejak pilihan raya negeri Sabah pada bulan September yang lalu, keadaan menjadi semakin buruk. Keadaan bertambah buruk dengan kes dari kilang pengeluar sarung tangan di Selangor.
“Kemenangan yang pernah kita sebutkan sebelum ini kini tiada lagi malah kes menjadi empat angka setiap hari.
“Untuk pertama kalinya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, seorang yang rajin, tidak mengambil cuti sehari selama sembilan bulan terakhir, telah menggunakan kata-kata seperti "breaking point" dan "pressure",” katanya.
Menurutnya, kini negara telah sampai ke tahap di mana hospital kekurangan katil untuk pesakit COVID-19.
“Bukan hanya doktor dan jururawat yang tertekan - pemandu ambulans juga sama-sama terbeban,” ujarnya.
#politik
#Dr Noor Hisham Abdullah
#SOP
#Singapura
#Korea Selatan
#ekonomi
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#rakyat
#PKP
#COVID-19
#kesihatan
#tukar kerajaan
#sokongan
#Parlimen