Ingkar SOP: Timb Speaker Dewan Rakyat akan dipanggil beri keterangan - Ketua Polis Johor

Astro Awani
Julai 24, 2021 16:55 MYT
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan sudah dibuka bagi menyiasat dakwaan perlanggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) membabitkan Datuk Mohd Rashid Hasnon (gambar) serta isteri dan anaknya. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Polis akan memanggil Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon bagi memberi keterangan susulan gambar tular membabitkannya yang didakwa berlaku pada tengah malam Aidiladha lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan sudah dibuka bagi menyiasat dakwaan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) membabitkan Mohd Rashid serta isteri dan anaknya.
“Kita sudah buka kertas siasatan, kita akan panggil Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk diambil kenyataan dan juga (pihak-[ihak) yang terlibat. Saya difahamkan dia dan dua orang anak dia, juga pemilik Villa Long Agrofarm di Rengit, Batu Pahat,” kata Ayob sambil memaklumkan kes itu disiasat di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Penyakit Berjangkit.
Ayob berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Sebelum ini, tular gambar Mohd Rashid di media sosial memaparkan beliau sedang menikmati juadah raya termasuk ketupat dan makanan lain bersama keluarganya di sebuah inap desa sebuah ladang pertanian di Rengit.
Mohd Rashid dan keluarganya dipercayai berada di inap desa itu bagi menyertai sesi korban dan pemyembelihan lembu di rumah sembelihan yang beroperasi 24 jam itu berdasarkan prosedur SOP yang ditetapkan kerajaan Johor.
Sebelum ini, polis juga telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Rashid berhubung dakwaan melanggar SOP kawalan pergerakan susulan klip video kenduri durian di sebuah kebun yang tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 13 saat itu memaparkan majlis kenduri durian di sebuah kebun dipercayai di Batu Pahat dengan kehadiran Abdul Rashid.
Dijamu Durian | Rashid Hasnon akui keliru, terbuka untuk disiasat
Kenduri Durian | Polis akan panggil Timbalan Speaker
#Timbalan Speaker Dewan Rakyat #Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat #Mohd Rashid Hasnon #inap desa #ingkar SOP #Juadah Raya #kenduri durian
;