Ingkar SOP: Tidak perlu naikkan denda RM1,000 namun...

Rahimah Abdullah
Disember 28, 2020 14:24 MYT
Ujar Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof. Dr Haslinda Abdullah, rakyat Malaysia perlu fokus untuk menjaga SOP dan tidak boleh lagi ada sikap mementingkan diri sendiri. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Denda RM1,000 ke atas individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat sudah memadai pada ketika ini.
Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Haslinda Abdullah bagaimanapun melihat ada keperluan untuk meningkatkan pemantauan pematuhan SOP dan kawalan disiplin diri dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Saya rasa tidak perlu naikkan denda. Denda RM1,000 sudah cukup banyak. Namun, bagaimana kita laksanakan dari segi pemantauan, dan supaya ia kelihatan adil kepada semua pihak.
"Ada orang kata, tidak adil kalau mereka yang kaya kena RM1,000, mereka yang miskin juga kena denda RM1,000. Itu bukan isunya. Isunya kepada kepatuhan dan disiplin diri serta integriti kepada diri sendiri," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Isnin.
BACA: Individu ditahan ingkar PKP meningkat hampir lima kali ganda
Katanya lagi, rakyat Malaysia perlu fokus untuk menjaga SOP dan tidak boleh lagi ada sikap mementingkan diri sendiri.
"Kalau kita lihat apa yang berlaku pada hari ini, saya rasa masih banyak nilai yang masyarakat Malaysia perlu diterapkan. Kita ada banyak majlis dan dalam konteks ini, kalau kita nak lakukan pemantauan, pemantauan adalah kepada yang berfokus.
"Kalau kita tengok statistik dan sebagainya, kita tahu tempat-tempat yang berfokus adalah hectic seperti di kawasan kilang, tempat tinggal pekerja dan sebagainya," katanya.
Bagaimanapun, beliau melihat kerajaan bersikap lebih matang dalam melakukan pemantauan dan lebih berfokus.
"Contohnya, kita tahu kita nak pergi ke sesuatu tempat, kita perlu ada kesedaran. Namun, pergi tidak apa tetapi kita kena fikir apa kebarangkalian yang akan berlaku kalau kita pergi.
"Kadang-kadang orang kita ini in denial, kita tahu kita tidak sihat tetapi kita masih lagi kata sedikit sahaja sakit. Dalam keadaan sekarang, 'sedikit' itu yang memberi impak besar kepada kita dan yang berada di sekitar," ujarnya.
Justeru, kesedaran dan sikap tidak mengaku berisiko terdedah jangkitan COVID-19 tidak perlu ada dalam diri setiap masyarakat di Malaysia.
"Sekarang ini musim cuti, ada yang hendak balik jumpa ibu bapa. Namun kita kena fikir dulu, bagaimana keadaan ibu bapa kita, dan ada anak kecil tak? Kita tidak mahu menjadi punca (jangkitan COVID-19) kepada mereka yang lain," tambahnya.
Jelasnya lagi, dalam keadaan norma baharu, rakyat tidak dilarang untuk berhibur, namun perlu melakukannya di kawasan yang luas dan pada masa sama, pihak penguatkuasa pematuhan SOP sentiasa berada di tempat awam untuk melakukan pemantauan.
"Pemantauan ini perlu bagi memastikan rakyat tahu mereka sedang diperhatikan atau mungkin kena banyakkan pemidang yang memberi amaran bahawa kawasan ini diperhatikan," kata beliau lagi.
#SOP #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #PKP #rakyat #rakyat Malaysia #Astro Awani #Astro #Malaysia #Prof Dr Haslinda Abdullah
;