Ingkar SOP: Edar sumbangan raya, Exco Terengganu dikompaun RM2,000
Astro Awani
Mei 15, 2021 05:10 MYT
Mei 15, 2021 05:10 MYT
KEMAMAN: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Hari Raya Aidilfitri.
Hanafiah dikesan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP), yang melarang sebarang aktiviti ziarah raya, dengan melawat kediaman penduduk untuk menyerahkan sumbangan pada Khamis.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9 pagi dan foto aktiviti ziarah terbabit tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan ketika dihubungi berkata, pihaknya memanggil exco kerajaan negeri berkenaan pada Sabtu kira-kira jam 9 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, untuk diambil keterangan sebelum dikompaun.
Menurut Hanyan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang didapati melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan.
Pihaknya juga meminta orang ramai agar patuh kepada arahan yang dikeluarkan dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.
Sementara itu, Hanafiah memuji pihak berkuasa yang bertindak tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan.
"Terima kasih kepada pihak berkuasa, polis Kemaman, yang hari ini telah memanggil saya untuk mengeluarkan satu kompaun sebanyak RM2,000.
"Kerana, saya telah melanggar SOP. Saya reda terhadap kompaun yang telah dikeluarkan oleh pihak polis," katanya.
Hanafiah adalah Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang kedua dikenakan tindakan selepas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim yang juga ADUN Jabi, dikompaun RM2,000 atas kesalahan sama Jumaat lalu.
#Hanafiah Mat
#kompaun
#langgar SOP
#pematuhan
#SOP
#COVID-19
#Chukai
#Ziarah raya
#Hanyan Ramlan
#polis
#Kemaman
#ADUN
#exco kerajaan negeri
#terengganu
#PKP