Ingkar SOP: 821 dikompaun, 20 direman pada Selasa

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 16, 2021 19:30 MYT
Menurut kenyataan Ismail Sabri, daripada jumlah yang ditahan seramai 821 individu dikompaun manakala 20 lagi individu direman. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: 841 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada Selasa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu seramai 821 individu dikompaun manakala 20 lagi individu direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran, makan di premis (170), tiada penjarakan fizikal (165), tidak memakai pelitup muka (157), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (103) dan tidak patuh arahan kawalan pergerakan (91),” menurut kenyataan itu.
Menurut beliau lagi, antara kesalahan lain yang dikesan ialah membawa penumpang berlebihan iaitu sebanyak 87 kes, aktiviti pusat hiburan 32 dan premis gagal patuhi arahan iaitu 12 kes serta 24 kes membabitkan lain-lain kesalahan.
Op Benteng semalam juga menyaksikan 10 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditangkap manakala empat buah kenderaan darat dan tiga buah bot dirampas.
#ismail sabri yaakob #SOP #pati #hiburan #bot #rentas negeri #pelitup muka #pendatang asing
;