Ingkar SOP: 709 dikompaun, 19 individu direman - Ismail Sabri

Fareez Azman
Februari 4, 2021 11:50 MYT
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada 731 individu ditahan itu, seramai 709 individu dikompaun, manakala 19 individu direman dan tiga lagi dijamin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seramai 731 individu ditahan selepas ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu, 709 individu dikompaun, manakala 19 individu direman dan tiga lagi dijamin.
"Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 731 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP. Daripada jumlah itu, 709 telah dikompaun, 19 individu direman manakala tiga lagi dijamin.
"Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tiada penjarakan fizikal (207), tidak memakai pelitup muka (157), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (99), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (97).
"Premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (52), keluar rumah tanpa alasan munasabah (35), dan lain-lain (84). Walaupun hampir seluruh rakyat patuh, tapi ada yang gagal mengikuti SOP seperti kita lihat hari ini (Khamis) apabila kes bertambah," katanya dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam pada itu, jelas Ismail Sabri, pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah melaksanakan 66,526 pemeriksaan di seluruh negara.
Ia merangkumi pemeriksaan di 5,764 restoran, 4,155 pasar raya, 3,862 bank, 3,535 tempat ibadah, 2,480 penjaja, 1,570 kilang, 1,553 pasar awam/tani, 1,546 tempat riadah dan 851 pejabat kerajaan.
Tambahnya, menerusi Op Benteng pula, seramai 20 pendatang tanpa izin (PATI) dan seorang tekong berjaya ditahan, manakala 14 buah bot turut dirampas pihak berkuasa.
[SIDANG MEDIA] Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/PKPB/PKPD) - 04 Feb 2021
#ismail sabri yaakob #PDRM #SOP #Polis Diraja Malaysia #perintah kawalan pergerakan #PKP #rentas negeri #pelitup muka #pati