Ingkar SOP: 16 pemilik kilang di Kedah dikompaun RM10,000 setiap satu

Adie Sufian Zulkefli
Julai 3, 2021 11:23 MYT
Antara kesalahan dilakukan, pekerja melebihi 60 peratus kapasiti yang dibenarkan, majikan tidak menyediakan tanda penjarakan fizikal satu meter, kantin di kilang beroperasi secara dine-in. - Foto ihsan PDRM
ALOR SETAR: Enam belas pemilik kilang dikompaun RM10,000 setiap satu atas pelbagai kesalahan, termasuk membenarkan pekerja makan di kantin, dalam operasi pemantauan pematuhan kilang dan penginapan pekerja oleh polis Kedah.
Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi pada Jumaat itu membabitkan pemeriksaan ke atas 299 kilang dan kira-kira 60 pekerja warga asing.
Tindakan diambil di bawah Akta 446 kerana kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Op Patuh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 di seluruh Kedah.
"Antara kesalahan yang ditemui ialah pekerja melebihi 60 peratus kapasiti yang dibenarkan, majikan tidak menyediakan tanda penjarakan fizikal satu meter, kantin di kilang beroperasi secara dine-in, pekerja tidak memakai pelitup muka dan tidak mendaftar masuk dengan mengimbas MySejahtera.
"Pemeriksaan turut dilakukan bagi memastikan kehadiran petugas sektor pembuatan dengan kapasiti 60 peratus pekerja dipatuhi selaras dengan Peraturan 16 PU(A) 243/2021 Akta 342," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata, seramai 382 petugas terbabit di dalam operasi tersebut, termasuk 332 anggota polis dan selebihnya wakil dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Kedah (JKKP), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP).
Selain itu, wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut menyertai operasi.
"Polis Kontinjen Kedah akan meneruskan Op Patuh ini dengan kawasan yang lebih menyeluruh dalam memastikan SOP PPN Fasa Satu dipatuhi," katanya.
#KKM #SOP #KDN #Kedah #Kementerian Kesihatan #pelancongan #pelitup muka #PDRM #kilang #makan #kantin #Kamarul Zaman Mamat #Akta 446 #Op Patuh PPN Fasa 1
;