Ingkar SOP, 147 individu berhibur di pusat hiburan dikompaun RM750,000

Muhammad Aiman Hakeem
November 12, 2021 00:02 MYT
Dalam operasi jam pada 10.30 malam Khamis, semua mereka dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). - Gambar/ PDRM
JOHOR BAHRU: Seramai 147 individu termasuk seorang penjaga pusat hiburan dikenakan kompaun keseluruhan RM750,000 dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Taman Ekoflora, Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam operasi jam pada 10.30 malam Khamis, semua mereka dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Antara yang ditahan, 95 lelaki dan 51 wanita tempatan, serta seorang wanita warga asing.
“Penjaga premis tersebut telah dikompaun sebanyak RM25,000 manakala pelanggan premis dikompaun sebanyak RM5,000 bagi setiap seorang.
"Pemeriksaan turut mendapati premis tersebut telah beroperasi tanpa lesen yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Katanya, semua yang ditahan telah diambil tindakan mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Negeri Johor.
#ingkar SOP #pusat hiburan #Johor Bahru #Taman Ekoflora
;