Ingkar ROS, DAP mungkin tidak boleh bertanding PRU14 - TPM

Wan Syamsul Amly
Julai 9, 2017 14:30 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) bersalaman dengan para perwakilan selepas selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Gombak hari ini. --fotoBERNAMA
DAP berdepan risiko tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang seandainya tidak mematuhi arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dalam isu pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, DAP mempunyai kecenderungan untuk ingkar arahan ROS yang mengambil tindakan berdasarkan perlembagaan dan peraturan parti itu sendiri.
Jelasnya, DAP juga berdepan kemungkinan parti itu diharamkan.
Menjelang PRU ke-14, katanya, watikah bagi setiap calon sesebuah parti mesti ditandatangani oleh pegawai atau pemegang yang diberikan mandat untuk menandatanganinya.
"Jika barisan kepimpinan sesebuah pertubuhan atau parti yang mahu menghantar calon itu adalah merupakan jawatankuasa atau kepimpinan yang tidak diiktiraf ROS, maknanya watikah tidak akan dikeluarkan dan tidak boleh disahkan.
"Maka, akibatnya, calon dari parti berkenaan tidak boleh bertanding. Kalau mereka mahu bertanding juga, arahan daripada ROS itu perlu dipatuhi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di sini hari ini.
BACA: DAP perlu adakan pemilihan semula jika betul telus - Mah
BACA: DAP tunggu surat rasmi RoS, pertemuan akan dibuat secepat mungkin
Pada Jumaat, Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 September, 2013 lalu adalah tidak sah dari segi undang-undang.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan, pihaknya akan menunggu surat arahan rasmi daripada ROS selain cuba mengadakan pertemuan dengan jabatan itu sebaik sahaja menerima surat tersebut.
Lim turut mempertikaikan tempoh begitu panjang sehingga empat tahun yang diambil oleh ROS sebelum mengambil keputusan keputusan itu sedangkan laporan pemilihan tersebut telahpun dihantar kepada ROS pada 8 November 2013.
Dalam pada itu, kata Ahmad Zahid, arahan ROS supaya DAP mengadakan pemilihan semula CEC itu tidak ada kena mengena dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam perkembangan berasingan, beliau meminta ahli UMNO agar tidak berpecah belah dan bekerja keras untuk persediaan PRU14.
Selain itu, beliau juga berharap sebarang persengketaan di antara kepimpinan serta akar umbi parti di Selangor diselesaikan demi merampas kembali negeri itu pada PRU akan datang.
#DAP #PRU #ros #UMNO #Zahid Hamidi
;