Ingkar PKPB: 42 lelaki dicekup main snuker
Adie Sufian Zulkefli
Mei 26, 2020 09:15 MYT
Mei 26, 2020 09:15 MYT
Padah bermain snuker di pusat hiburan, 42 lelaki ditahan selepas polis menyerbu sebuah pusat snuker di Sungai Petani pada petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan jam 6 petang itu, polis mendapati beberapa lelaki sedang leka bermain snuker manakala yang lain sedang asyik menontonnya.
Polis kemudian memberkas seorang lelaki dipercayai penjaga premis terbabit dan hasil semakan mendapati, penjaga premis gagal mengemukakan sebarang lesen hiburan yang sah.
“Kesalahan dilakukan ini jelas melanggar arahan kerajaan yang tidak membenarkan premis hiburan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menangani wabak COVID-19.
“Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 62 tahun itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, polis turut merampas 27 batang kayu snuker, sembilan set bola snuker dan wang tunai berjumlah RM831.60.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1998 dan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.