Ingkar PKP: Pekerja diarahkan datang atau dipotong gaji, dua majikan ditahan

Qaisara Umaiyah
Mac 28, 2020 00:20 MYT
Kesemua pekerja terbabit mendakwa menerima arahan daripada majikan mengkehendaki mereka untuk turun bekerja untuk mengelakkan potongan gaji. - Astro AWANI
Dua majikan yang juga adik-beradik ditahan selepas enam pekerjanya di dapati masih bekerja di Jalan Dam, dekat sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dua beradik tu berusia 47 dan 50 tahun melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.
"Sewaktu kejadian, sepasukan pegawai dan anggota polis sedang melakukan pemeriksaan di sebuah bengkel perkakasan besi di lokasi kejadian sebelum mendapati enam lelaki terbabit bersama majikannya sedang bekerja di dalam premis tersebut.
Siasatan awal mendapati bengkel itu masih beroperasi sejak 23 Mac lalu, enam hari selepas penguatkuasaan PKP," katanya dalam kenyataan dekat sini, pada Sabtu.
Tambah Nasri, kesemua pekerja terbabit mendakwa menerima arahan daripada majikan mengkehendaki mereka untuk turun bekerja untuk mengelakkan potongan gaji.
"Sehubungan itu, kedua majikan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
"Turut ditahan pekerja terbabit terdiri daripada empat warga tempat dan selebihnya warga Indonesia berusia antara 19 hingga 37 tahun," katanya.
Kesemua suspek itu disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 324) dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.
Menurut Nasri, dengan penahanan individu terbabit, ia menjadi pengajaran kepada semua penduduk di daerah tersebut agar tidak memandang ringan arahan PKP yang ditetapkan.
#COVID-19 #ingkar PKP #koronavirus #majikan #Nasri Mansor #PDRM #Pekerja #perintah kawalan pergerakan #polis
;