Ingkar PKP: Pasar awam pertama di Pulau Pinang diarah tutup tiga hari
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 29, 2020 16:31 MYT
Mac 29, 2020 16:31 MYT
Pasar awam di Kompleks Sri Aman di Relau, Pulau Pinang menjadi pasar awam pertama ditutup selama tiga hari di negeri itu selepas pengunjung dan peniaga ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Keputusan penutupan pasar awam yang menempatkan 20 gerai jualan itu terpaksa diambil selepas amaran diberikan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak diendahkan.
Pengerusi Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata mereka sepatutnya mematuhi beberapa langkah antaranya melakukan penjarakan sosial namun arahan itu tidak dipedulikan memaksa keputusan menutup pasar dilakukan sebagai pengajaran kepada semua pihak.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kesalahan tersebut kerana ia melibatkan keselamatan kesihatan awam
"Hari ini saya di sini utk pastikan pasar awam ini tutup kerana tidak patuhi langkah kita perkenalkan.
"Saya beri amaran pada semua pasar awam lain kalau tidk patuhi, kami akan ambil tindakan yang sama, jangan main-main, ini perkara kesihatan keselamatan awam, perkara mati hidup," katanya selepas melakukan tinjauan di Pasar berkenaan bersama Datuk Bandar MBPP dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud pada Ahad.
Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang berkata, pihaknya berharap agar pasar awam lain mengambil ikhtibar terhadap tindakan yang diambil ke atas Pasar Sri Aman tersebut.
Yew berkata, pihaknya juga akan menghentikan operasi gerai penjaja sayur tepi jalan di Jelutong pada Isnin berikutan kegagalan mematuhi arahan yang ditetapkan sepanjang PKP.
Selain itu katanya pasukan Skuad Khas COCID-19 sentiasa buat pemantauan di kawasan lain dan sekiranya mereka berdegil, tindakan akan diambil.
#coronavirus
#COVID-19
#Georgetown
#kerajaan
#keselamatan
#kesihatan
#koronavirus
#mati
#operasi
#Pasar awam di Kompleks Sri Aman
#Pasar diarah tutup
#peniaga
#pulau pinang
#Seberang Perai