Ingkar PKP: Denda RM10,000 agak berlebihan - Lee Lam Thye

Bernama
Februari 27, 2021 21:14 MYT
Lee berkata bukan semua mampu membayar RM10,000 terutama dalam keadaan ekonomi mencabar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kenaikan kompaun ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada RM1,000 kepada RM10,000 seperti cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) disifatkan terlalu tinggi, tidak adil dan berlebihan berbanding jenayah dilakukan, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata sejak kesan tidak mematuhi SOP meningkat secara mendadak sepanjang tahun lepas, adalah wajar untuk menaikkan kadar kompaun RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
"Tetapi untuk menaikkan denda daripada RM1,000 menjadi RM10,000, seperti yang diusulkan oleh Kementerian Kesihatan, ia terlalu besar dan berlebihan ... ia adalah kenaikan 900 peratus.
"Orang yang berfikiran waras akan bersetuju dengan pepatah bahawa hukuman mesti setimpal dengan jenayah...keseriusan jenayah menentukan hukumannya, yang mana apabila jenayah adalah berat begitu juga hukumannya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam kes tertentu, kelonggaran perlu diberikan oleh penguat kuasa undang-undang agar tidak membebankan orang ramai secara tidak adil, terutama apabila pesalah mengakui kesalahannya bukan sebagai alasan tapi disebabkan kecuaian atau kealpaan.
Lee berkata bukan semua mampu membayar RM10,000 terutama dalam keadaan ekonomi mencabar dan juga tidak adil bagi mereka yang pertama kali melakukan kesalahan disebabkan terlupa atau lambat melakukan pematuhan.
"Kemungkinan ada yang jujur atau tidak sengaja melakukan kesilapan. Mereka ini harus diberikan pelepasan dengan teguran.
"Perbezaan harus dilakukan antara pesalah kali pertama dan berulang. Disarankan agar memperkenalkan sistem tiga peringkat bukannya denda RM10,000 untuk semua," katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar pihak berkuasa berkaitan merangka dan melaksanakan sistem lebih adil dan bijaksana untuk menentukan denda yang lebih setimpal.
"Adalah penting untuk semua mematuhi SOP...patuh bukan sebab undang-undang tetapi sebagai keselamatan dan kesihatan dan untuk itu, adalah penting meningkatkan usaha mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab memastikan mereka tidak menyebar virus tanpa sengaja," katanya.
-- BERNAMA
#kompuan #ingkar PKP #SOP #perintah kawalan pergerakan #PKP #KKM #Lee Lam Thye #Ikatan Komuniti Selamat
;