Ingkar PKP: 51 individu dikompaun, 28 direman - Ismail Sabri

Irwan Muhammad Zain
Ogos 29, 2020 07:52 MYT
Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM pula, kata Ismail Sabri, telah menjalankan 64,776 pemeriksaan pada Jumaat bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). - Gambar Fail
Seramai 79 individu ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jumaat.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu seramai 51 individu telah dikompaun manakala 28 individu pula direman.
Menurut Ismail, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 22 kes yang terlibat dalam parti persendirian.
"Semalam (28 Ogos 2020), PDRM telah menahan 79 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 51 individu telah dikompaun manakala 28 individu pula direman.
"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (11), gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (18), tidak memakai pelitup muka (17), premis beroperasi lebih masa (1), acara keramaian (22), serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (10)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM pula, kata beliau, telah menjalankan 64,776 pemeriksaan pada Jumaat bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Sebanyak 4,845 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,796 anggota telah membuat pemantauan di 3,722 pasar raya, 5,053 restoran serta 1,420 penjaja, 1,765 kilang, 3,770 bank dan 1,079 pejabat kerajaan.
"Juga dipantau, sebanyak 1,154 terminal pengangkutan darat, 203 terminal pengangkutan air serta 169 terminal pengangkutan udara," katanya lagi.
Ismail juga menjelaskan pada Jumaat, PDRM telah mengadakan 459 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing (home quarantine) dan kesemua individu yang dikuarantin telah mematuhi SOP yang ditetapkan.
BACA: PKPP: Ini lima tumpuan kenyataan media Ismail Sabri
#ingkar #ismail sabri yaakob #kompaun #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKP #PKPP #reman #Tahan