Ingkar PKP: 39 individu ditahan, 27 dikompaun - Ismail Sabri

Fareez Azman
September 2, 2020 14:24 MYT
Ismail Sabri berkata, turut dirampas, 177 bot dan 475 kenderaan yang digunakan dalam percubaan menceroboh sempadan negara. -Bernama
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 39 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media pada Rabu, berkata daripada jumlah itu seramai 27 individu dikenakan kompaun, tujuh direman manakala lima dibebaskan dengan jaminan polis.
"Antara kesalahan ingkar PKP termasuk enam kes gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka (13), premis beroperasi lebih masa (lima), menggaji pekerja asing tanpa permit sah (lima) dan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (10)," katanya.
Sementara itu, katanya sebanyak 63,206 pemeriksaan telah dilakukan pasukan petugas Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM pada Selasa.
"Sebanyak 3,981 pasar raya, restoran (5,162), penjaja (1,611), kilang (1,810), bank (3,681) dan pejabat kerajaan (1,111) diperiksa.
"Selain itu, turut diperiksa sebanyak 1,789 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (208) serta terminal pengangkutan udara (125)," kata Ismail Sabri.
Dalam Operasi Benteng pula jelasnya, 62 sekatan jalan raya telah dilakukan melibatkan 27,379 kenderaan diperiksa.
Katanya, sehingga kini, seramai 4,620 orang pendatang tanpa izin (PATI), tekong (698) serta penyeludup (247) ditahan.
Turut dirampas, 177 bot dan 475 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara.
#bot #kerajaan #Menteri Kanan Pertahanan #operasi #Operasi Benteng #PDRM #pekerja asing #penjarakan sosial #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKP #Polis Diraja Malaysia
;