Ingkar PKP: 30 lagi individu di Seberang Perai Utara ditahan
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 31, 2020 16:02 MYT
Mac 31, 2020 16:02 MYT
Sepanjang fasa pertama Op COVID-19, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) telah menahan seramai 111 individu dan membuka 23 kertas siasatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, daripada jumlah itu, 73 individu telah dituduh di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas kesalahan ingkar PKP.
Menurut Noorzainy, kedegilan masih lagi berterusan apabila 30 lagi individu sekitar daerah SPU ditahan pada minggu akhir fasa pertama PKP.
Katanya, tangkapan kesemua 30 individu itu dilakukan pada pukuk 3.30 petang Isnin hingga jam 1.40 pagi Selasa.
Melepak, menghisap dadah dan berjudi antara kesalahan yang dilakukan sekumpulan lelaki berkenaan di beberapa lokasi di kawasan di SPU ketika polis mengadakan OP COVID-19.
“Walaupun berkali-kali arahan dikeluarkan tetapi masih ada lagi yang mengingkari PKP dan memaksa polis melipat gandakan usaha bagi fasa kedua ini.
“Polis menyeru sekali lagi supaya penduduk mematuhi arahan bagi membantu menghapuskan penularan wabak COVID-19 yang begitu berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam operasi yang diadakan Isnin, kesalahan sama dilakukan antaranya berkumpul dan melepak di pondok serta bengkel kenderaan, menghisap dadah dan berjudi selain ada yang cuba lari dari sekatan polis.
Kesemua individu ini ditahan untuk siasatan selanjutnya dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit 2020.
#berjudi
#COVID19
#Mahkamah Majistret Butterworth
#melepak
#menghisap dadah
#Op COVID19
#perintah kawalan pergerakan
#Seberang Perai Utara