Ingkar PKP: 15 individu direman terlibat kegiatan pelacuran, 220 lagi dikompaun - Ismail Sabri

Fareez Azman
Ogos 16, 2020 06:35 MYT
Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 15 individu dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran, 26 individu gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk - Ismail Sabri. Gambar: Fail
Seramai 15 individu direman manakala 220 lagi dikenakan kompaun selepas ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Sabtu.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu sebanyak 15 kes membabitkan kegiatan pelacuran.
"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 15 individu dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran, 26 individu gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk, 12 premis beroperasi lebih masa, 16 tidak memakai pelitup muka dan seorang individu gagal melunaskan bayaran kuarantin.
"165 individu dikompaun kerana terlibat dalam aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial," katanya dalam kenyataan media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ahad.
Tambah Ismail, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 64,987 pemeriksaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Sabtu.
Ia melibatkan pemantauan 4,142 pasar raya, 5,818 restoran serta 1,640 penjaja, 1,622 kilang, 3,849 bank dan 916 pejabat kerajaan. Turut dipantau, sebanyak 1,587 terminal pengangkutan darat, 378 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara.
#kerajaan #mangsa #Menteri Kanan Pertahanan #PDRM #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKP #PKPP #Polis Diraja Malaysia #SOP