Ingkar PKP: 13 jemaah ditahan selepas solat Isyak di masjid

Aida Aziz
Mac 29, 2020 14:34 MYT
Tindakan tegas juga akan diambil sekiranya masih ada jemaah yang ingkar dengan arahan yang ditetapkan. - Gambar hiasan
13 orang jemaah yang menunaikan solat Isyak di sebuah masjid di Telok Medan, di sini, ditahan pihak berkuasa selepas didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Sabtu.
Menurut Pegawai Tadbir Agama Daerah Bagan Serai, Mokhlis Husain, hasil pemantauan mendapati majoriti kumpulan jemaah itu merupakan penduduk sekitar, berusia pertengahan umur 50 tahun dan ke atas.
Menurutnya kesemua mereka ditahan pihaknya selepas selesai menunaikan solat antara jam 9 hingga 9.30 malam.
"Dalam pemantauan yang dilakukan dengan kerjasama beberapa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, majoriti kumpulan jemaah didapati itu berusia pertengahan umur 50-an dan ke atas.
"Mereka yang ditahan diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke IPD Kerian untuk tindakan lanjut.
"Difahamkan kesemua mereka telah dirakamkan percakapan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam," katanya pada Ahad.
Ujarnya lagi, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dari masa ke semasa termasuk surau dan masjid di kawasan pedalaman sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
Tindakan tegas juga akan diambil sekiranya masih ada jemaah yang ingkar dengan arahan yang ditetapkan.
Tambahnya lagi pihaknya menasihatkan orang ramai agar patuh sebarang keputusan yang dikeluarkan jawatankuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sepanjang tempoh PKP ini.
Sementara itu, MAIPk hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi agar rakyat mematuhi arahan yang dikeluarkan agar tidak melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid atau surau sepanjang tempoh PKP berjalan.
#Bagan Serai #coronavirus #COVID-19 #ingkar perintah #jemaah masjid #koronavirus #perintah kawalan pergerakan #PKP #polis #solat Isyak
;