Ingkar kuarantin: Pejabat Peguam Negara putuskan tiada pendakwaan ke atas Khairuddin - Pengarah JSJ

Astro Awani
Oktober 21, 2020 14:38 MYT
Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan ke atas Mohd Khairuddin Aman. -Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Pejabat Peguam Negara memutuskan tidak akan mendakwa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilaporkan ingkar perintah kuarantin selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata selepas meneliti kertas siasatan, Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan ke atas menteri itu memandangkan tiada keterangan kukuh bagi mengasaskan pertuduhan terhadapnya.
"Kertas siasatan telah rujuk ke pejabat peguam negara dan arahan untuk kes ini no further action (NFA) atas alasan menteri tak diserahkan dengan borang 14b di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin," kata Huzir.
Pada 24 Ogos lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan memandang serius kes dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh Mohd Khairuddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpendirian setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali.
Muhyiddin sekali lagi mengulangi pendirian sama pada sesi sidang media secara maya pada Selasa lalu dengan menyatakan polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara.
Pemimpin PAS itu sudah dikenakan kompaun RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib dan membayarnya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika sesi persidangan Dewan Rakyat mempertikaikan mengenai ketidakpatuhan arahan kuarantin wajib oleh Mohd Khairuddin.
Berikutan itu, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dikritik banyak pihak kerana mengingkari arahan kuarantin wajib seperti diarahkan pihak berkuasa.
Berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Malaysia (e), seorang Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan jika dikenakan hukuman denda minimum RM2,000 atau penjara lebih daripada setahun.
#ingkar kuarantin #Jabatan Siasatan Jenayah #Pejabat Peguam Negara #Kementerian Kesihatan Malaysia
;