Ingkar kuarantin, PDRM buru individu sebaik dikesan 'check-in' premis

Fareez Azman
September 24, 2021 18:54 MYT
Datuk Seri Hamzah Zainudin, tindakan menahan individu terbabit akan dilakukan di premis atau rumah berpandukan maklumat daripada aplikasi MySejahtera. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memburu individu yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebaik mereka dikesan mendaftar masuk ke mana-mana premis.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tindakan menahan individu terbabit akan dilakukan di premis atau rumah berpandukan maklumat daripada aplikasi MySejahtera.
"Bagi membolehkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa dengan pantas dan tegas, Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP COVID-19 (JKPS) telah meminta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran perintah HSO secara serta-merta (real-time) kepada polis bagi tujuan penguatkuasaan di lapangan.
"Melalui maklumat tersebut, pihak berkuasa seperti PDRM dapat diatur gerak terus ke mana-mana lokasi yang telah dikenal pasti bagi tujuan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya dalam Sidang Media Khas Menteri Dalam Negeri di Putrajaya pada Jumaat.
523 'check-in' MySejahtera dalam kalangan kes positif yang menjalani HSO
Tambah Hamzah, pemilik premis perniagaan yang didapati membenarkan individu sedang menjalani HSO memasuki premis mereka juga akan diambil tindakan yang tegas.
"Selain itu, pihak premis yang didapati membenarkan individu yang melanggar perintah HSO memasuki premis mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.
"Jika individu itu tiada di premis berkenaan, (berdasarkan) bukti itu (daftar masuk MySejahtera) kita akan terus pergi ke rumah seperti ditunjukkan dalam aplikasi terbabit," katanya lagi.
Hamzah berkata, melalui Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) pihak berkuasa dapat mengesan jika berlakunya pelanggaran SOP individu yang menjalani perintah kuarantin atau HSO.
"Melalui HIDE, bila masuk dalam check-in itu, maka keluar (informasi) individu tersebut yang sepatutnya tidak boleh keluar (dari rumah)," katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan seramai 523 individu yang dikenakan HSO dikesan mendaftar masuk ke premis perniagaan ketika tempoh kuarantin.
Daripada jumlah itu, sebanyak 18 peratus individu didapati telah mendaftar masuk ke premis pasar raya.
#Hamzah Zainudin #HSO #MySejahtera #ingkar kuarantin
;