Ingin sambut Aidilfitri, 6 tahanan panjat pagar lari dari depoh tahanan
Junaidi Ladjana
Mei 13, 2021 17:08 MYT
Mei 13, 2021 17:08 MYT
KOTA KINABALU: Keinginan menyambut Aidilfitri di luar dipercayai menjadi punca enam tahanan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal, di sini, nekad melarikan diri, pagi tadi.
Terdahulu, sembilan tahanan cuba melarikan diri dengan memanjat tembok depoh tahanan berkenaan, namun tiga daripada mereka berjaya ditahan semula di dalam kawasan pagar oleh pegawai Jabatan Imigresen (JIM) yang sedang membuat kawalan.
Difahamkan, enam lagi tahanan berusia antara 20-an hingga 40-an sempat melarikan diri ke arah sebuah kawasan perkampungan di belakang depoh terbabit.
Usaha memburu baki tahanan sedang giat dijalankan dengan kerjasama JIM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, operasi memburu semua suspek yang terbabit sedang dijalankan.
"Setakat ini belum ada laporan dibuat dan kita minta mereka membuat laporan polis segera," katanya.
Sebelum ini, sekumpulan penghuni Depoh Tahanan Imigresen Manggatal, di sini, dilaporkan merusuh selepas tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan balik untuk menyambut Aidilfitri.
Bagaimanapun, keadaan berkenaan berjaya dikawal selepas pasukan Unit Tempur Ringan (LSF), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.
#Depoh Tahanan Imigresen
#DTI
#Manggatal
#Lebaran AWANI
#Hari Raya Aidilfitri 2021
#Syawal 2021
#tahanan melarikan diri
#sambut Aidilfitri