Ingin rancang perjalanan sempena Thaipusam? Ikuti antara inisiatif MOT

Zikry Halim
Januari 13, 2024 12:00 MYT
KTMB akan memberikan tambang percuma kepada para penumpang KTM Komuter Lembah Klang pada 24 Januari dan 25 Januari.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan lima penambahbaikan pergerakan bersempena Thaipusam 2024 yang akan disambut pada 25 Januari di seluruh Malaysia.
Menurutnya, pengumuman itu dibuat, memandangkan pergerakan bersempena hari Thaipusam akan melibatkan ratusan ribu penganut agama Hindu, pelancong dan orang awam setiap tahun.
Berikut antara penambahbaikan yang telah diumumkan:
1) Perkhidmatan Tren Tambahan KTM Komuter 24 jam 4 hari 3 malam
Perkhidmatan KTM Komuter tambahan tanpa henti selama 4 hari 3 malam yang akan bermula pada 23 Januari sehingga 26 Januari 2024. Perincian seperti berikut.
Sebanyak 33 perkhidmatan tambahan disediakan bagi laluan Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves dan 39 perkhidmatan tambahan bagi laluan Batu Caves – Pelabuhan Klang – Batu Caves.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan tren tambahan KTM Komuter yang disediakan pada kali ini adalah sebanyak 72 perkhidmatan setiap hari.
Perkhidmatan KTM Komuter tambahan akan bermula seawal jam 9.55 malam pada 23 Januari dari Stesen Pulau Sebang ke Stesen Batu Caves dengan kekerapan setiap satu (1) jam.
Manakala, tren dari Stesen Pelabuhan Klang ke Stesen Batu Caves akan bermula seawal jam 11.39 malam juga dengan kekerapan setiap satu (1) jam.
KTMB juga menyediakan perkhidmatan tambahan baharu bagi pengguna dari Pelabuhan Klang yang boleh mendapatkan trip terus (direct trip) ke Batu Caves selepas 12 tengah malam.
Tahun ini, sebanyak 28 stesen akan beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh tersebut berbanding 26 stesen pada tahun lepas. Pertambahan stesen adalah Stesen Rembau dan Pulau Sebang. (Lampiran 2)
2) Tambang Percuma Free Ride Kerajaan MADANI buat penumpang KTM Komuter Lembah Klang pada 24 dan 25 Januari
Kementerian Pengangkutan melalui KTMB akan memberikan tambang percuma (free ride) kepada para penumpang KTM Komuter Lembah Klang selama dua (2) hari, iaitu pada 24 Januari dan 25 Januari.
Ini merupakan kali pertama kerajaan memberikan tambang percuma kepada para pengguna KTM Komuter Lembah Klang sempena sambutan perayaan Thaipusam.
MOT berharap melalui pemberian tambang percuma ini sambutan perayaan Thaipusam ini akan lebih bermakna, tambahan pula tambang percuma ini untuk semua pengguna KTM Komuter di Lembah Klang.
Para pengguna yang lain dan para pelancong juga boleh mengambil peluang untuk turut menikmati perkhidmatan KTM komuter secara percuma selama dua hari seperti yang saya sebutkan tadi.
Tambang percuma ini bermula dari 24 Januari 2024 jam 00:00AM sehingga 25 Januari 2024 jam 11.59PM. Tambang percuma dikenakan semasa penumpang-penumpang membuat imbasan masuk (check in) dan keluar (check out) dari pintu automatik (ACG) stesen destinasi dalam tempoh berkenaan.
MOT menjangkakan seramai 250,000 orang akan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang sepanjang tempoh 4 hari 3 malam tersebut dengan jumlah penumpang dijangka meningkat pada hari kemuncak iaitu Hari Thaipusam pada 25 Januari 2024.
3) Perkhidmatan ETS Tambahan Butterworth – KL Sentral dan Padang Besar – KL Sentral
Untuk memudahkan pergerakan ulangalik Zon Tengah dan Zon Utara Semenanjung, KTMB turut menawarkan empat (4) perkhidmatan ETS tambahan dengan jumlah tiket tambahan sebanyak 3,150 bermula 24 Januari sehingga 28 Januari. Perincian seperti berikut:
i) Dua (2) perkhidmatan sehari bagi laluan Butterworth – KL Sentral dan KL Sentral – Butterworth pada 24 Januari dan 25 Januari 2024. (Lampiran 3)
ii) Dua (2) perkhidmatan sehari bagi laluan Padang Besar – KL Sentral dan KL Sentral – Padang Besar pada 26 Januari sehingga 28 Januari 2024. (Lampiran 4).
Jualan tiket bagi tren-tren tambahan ini akan dibuka mulai 15 Januari 2024, 12.00 tengah hari iaitu Isnin ini.
4) Perkhidmatan bas-bas perantara percuma Rapid Bus di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang
Untuk meningkatkan kesinambungan pengunjung dalam penyertaan perayaan Thaipusam, pihak Rapid Bus akan menyediakan perkhidmatan bas-bas perantara percuma di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 24 dan 25 Januari.
3 laluan percuma Kuala Lumpur yang terlibat termasuk BC02 (Hab Bandar Pasar Seni - Batu Caves), BC03 (Stesen LRT Gombak – Batu Caves) dan BC04 (Stesen MRT Kg Batu – Batu Caves). (Lampiran 5)
1 laluan percuma Pulau Pinang yang terlibat adalah ST01 (Jetty – Adventist).
Selain daripada perkhidmatan bas-bas perantara percuma tersebut, terdapat tiga (3) perkhidmatan bas di Kuala Lumpur dan lima (5) di Pulau Pinang yang akan melalui kawasan-kawasan di mana acara sambutan Hari Thaipusam akan dijalankan. Maklumat mengenai laluan-laluan tersebut boleh diperolehi dengan melayari laman web myrapid.com.my.
5) Membaik pulih Jejantas Pejalan Kaki di Stesen Keretapi Batu Caves yang dilaksanakan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC)
Pada awal tahun 2023, pihak Perbadanan Aset Keretapi (RAC) telah menerima aduan keusangan dan kebocoran bumbung jejantas pejalan kaki berhampiran Stesen Keretapi Batu Caves.
Lanjutan daripada itu, satu mesyuarat dan lawatan tapak bersama Pusat Khidmat Rakyat Sungai Tua telah diadakan 16 Feb 2023. Ketua Pegawai Eksekutif RAC telah mengadakan lawatan tapak ke jejantas pada 20 April 2023.
Pada 26 Jun 2023, kerja-kerja pembaikan yang merangkumi penggantian bumbung baharu, penggantian lampu pendaflour baharu serta kerja-kerja mengecat tiang dan kekuda bumbung telah siap dengan bernilai RM95,599.
Dengan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan jejantas, keselesaan penduduk dan pengunjung Batu Caves dapat dipertingkatkan.
#Anthony Loke #Thaipusam #Batu Caves #pelancong
;